KUALA TERENGGANU: Isteri kepada lelaki yang ditemukan lemas di Pula Gemia, Marang dekat sini bersyukur dapat menatap jasad suaminya itu untuk kali terakhir dan dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Petaling Jaya, Selangor.
Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata, sejak semalam, dia dan keluarga tidak putus-putus berdoa agar ada keajaiban menemui jasad suaminya, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44,
supaya ada tanah kubur untuk diziarahi bagi melepaskan rindu selepas ini.
Malah, katanya, dia juga bersyukur kerana arwah suaminya ditemukan dalam keadaan yang sempurna dan mati syahid kerana lemas.
“Kami suami isteri datang ke sini pada Jumaat kerana ada urusan perniagaan dan ambil kesempatan bawa dua anak untuk melancong ke Kuala Terengganu sempena cuti persekolahan.
“Arwah memang ada nyatakan hasrat untuk mandi laut dan menyebutnya berulang kali sebaik sahaja sampai di Terengganu, tidak sangka pula kegembiraan kami sekeluarga berakhir dengan tragedi menyayat hati.
“Sepatutnya kami berempat pulang ke Kuala Lumpur pagi tadi namun takdir Allah SWT pula sebaliknya, kami hanya pulang bertiga sahaja bertemankan jasad suami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, sebentar tadi.
Semalam, media melaporkan, seorang lelaki dari Petaling Jaya, Selangor, dikhuatiri lemas selepas dilaporka hilang setelah ditarik ombak besar ketika sedang bersiar-siar di pesisir Pantai Batu Buruk di sini semalam ditemukan lemas pada pukul 4 petang tadi.
Ketika kejadian, isteri mangsa bersama dua anak mereka sedang bermain pasir.
Sebaik menyedari kehilangan suaminya, isteri mangsa terus berenang dan membaling pelampung untuk menyelamatkan suaminya namun gagal kerana arus yang sangat kuat menghanyutkan lelaki tersebut lebih jauh ke tengah laut.
Mengulas lanjut, Nora Elina berkata, dia dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi yang bertungkus lumus sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak semalam.
“Kami juga berterima kasih dengan setiap titipan doa rakyat Malaysia yang bersimpati dengan ujian menimpa dan mendoakan jasad suami ditemukan secepat mungkin,” ujarnya. – UTUSAN










