Israel mahu bina penempatan Yahudi di Gaza?

Israel mahu bina penempatan Yahudi di Gaza?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ribuan kediaman rakyat Palestin di Gaza mula dirobohkan rejim Zionis sehingga menimbulkan tanda tanya adakah tindakan tersebut merupakan suatu isyarat bahawa mereka akan mula membina penempatan haram rakyat Israel di wilayah tersebut.

Persoalan itu bukanlah prasangka buruk terhadap rejim Zionis sebaliknya berdasarkan fakta, sekitar 400,000 rakyat­nya dilaporkan sudah mendiami penempatan di Tebing Barat secara haram bersama kira-kira tiga juta rakyat Palestin.

Jumlah itu terus meningkat saban hari apabila rejim Zionis terus membelakangkan undang-undang antarabangsa apatah lagi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan bahawa tembok pemisah di Tebing Barat tersebut tidak sah pada tahun 2004 lalu.

Memetik laporan berita antarbangsa, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir yang turut menyertai perhimpunan tersebut dilaporkan berkata, wi­layah tersebut perlu dika­wal oleh rejim Zionis jika tidak mahu kejadian 7 Oktober 2023 berulang.

Justeru katanya, Israel perlu menggalakkan penghijrahan sukarela rakyat Palestin untuk keluar dari Gaza.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementeri­an Pendidikan dan Pengajian Ting­gi Gaza, Ahmed Abu Ayesh An Najjar mendakwa, sehingga kini hampir 80 peratus bangunan di wilayah Palestin itu sudah diranapkan sepanjang hampir empat bulan operasi ketente­raan dilaksanakan oleh rejim Zionis.

Menurutnya, jika sebelum ini rejim Zionis mengebom kediaman, bangunan kerajaan, sekolah, masjid dan gereja namun kini mereka menggunakan jentolak untuk meratakan hampir keseluruhan tanah di Gaza.

“Rejim Zionis kini sedang meratakan hampir keseluruhan tanah di Gaza. Setakat ini hampir 80 peratus bangunan sudah dirobohkan. Apa yang sedang berlaku di sini di luar rasional manusia tetapi dunia masih berpeluk tubuh,” katanya menerusi mesej pesanan di aplikasi WhatsApp.

Menurut rekod, lebih 355,000 daripada 439,000 kediaman di Gaza sudah menjadi sasaran rejim Zionis sejak 7 Oktober 2023. Hampir 100,000 daripadanya musnah sepenuhnya manakala selebihnya tidak lagi boleh didiami.

Tentera Israel turut memusnahkan 1,592 bangunan perniagaan; sekolah dan universiti (385); bangunan kerajaan dan fasiliti awam (126); masjid (120); gereja (3); fasiliti dikendalikan agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) (85) serta lebih 11,120 ekar tanah pertanian di seluruh Gaza.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Ayesh yang juga Presiden Muslim Care Malaysia – Palestin berkata, beliau dan beberapa ahli keluarganya setakat ini masih terselamat walaupun terpaksa meninggalkan kediamannya di Khan Younis yang musnah dibom sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, beliau berkata, situasi di Khan Younis semakin tegang dengan serangan dilakukan rejim Zionis di setiap penjuru setiap hari.

“Situasi ketika ini sangat bahaya untuk kami. Teruskan berdoa keselamatan kami, lakukanlah apa yang termampu untuk membantu kami di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN