Insentif untuk syarikat pindah pangkalan ke TRX

Insentif untuk syarikat pindah pangkalan ke TRX

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Majlis Pelancaran Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di Menara Exchange 106, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan beberapa insentif kepada syarikat-syarikat yang memindahkan operasi pangkalan mereka ke pusat kewangan antarabangsa baharu negara, Tun Razak Exchange (TRX).

Antara insentif tersebut adalah elaun bangunan industri, pengecualian cukai ke atas 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun bagi pemaju hartanah, pengecualian duti setem ke atas pinjaman dan perkhidmatan status syarikat TRX.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, TRX mampu meningkatkan naratif Malaysia di samping mencerminkan sebagai sebuah negara kaya dengan perdagangan.

Katanya, lokasi itu juga merupakan mercu tanda penting sebagai sinergi antara kecanggihan dalam pembinaan yang sesuai dengan tuntutan zaman selain menjadi hab kewangan kepada pemain utama industri.

“Sejajar dengan ekonomi Madani, negara telah mula untuk bina seni bina baharu  lebih terbuka dan telus dalam menjadikan ekonomi Malaysia yang berdaya saing.

“Kita juga ingin cipta masa depan di mana setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi,” katanya dalam Majlis Pelancaran Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di Menara Exchange 106, di sini hari ini.

TRX dibangunkan dengan tujuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah hab kewangan dunia, sekali gus dapat bersaing dengan pusat-pusat kewangan antarabangsa seperti di Bandar Raya New York, London, Paris, Frankfurt, Singapura, Hong Kong dan Tokyo.

Dengan lebih 30,000 pekerja, TRX telah menjadi hab perniagaan yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi di samping mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd. (TRXC), Datuk Azmar Talib berkata, TRX mencerminkan apa yang diperlukan oleh Malaysia iaitu suatu destinasi serba moden serta mampan yang dapat memupuk minda perniagaan yang hebat dalam membentuk masa hadapan yang gemilang.

Ujarnya, kejayaan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan kerajaan, pelabur dan komuniti TRX yang terdiri daripada syarikat-syarikat ‘blue-chip global’ dan tempatan.

“Hari ini, saya berbangaa berdiri di hadapan anda. TRX adalah bukti Malaysia kepada dunia bahawa kita berjaya memenuhi komitmen kita, serta mampu mencapai lebih lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN