KUALA SELANGOR: Kegiatan satu sindiket yang menjadikan inap desa di Tanjong Karang di sini, sebagai rumah transit pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak dua bulan lalu tumpas apabila digempur polis malam tadi.
Serbuan kira-kira pukul 9.45 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Balai Polis Kuala Selangor.
Operasi (Op) Pintas itu kepada penahanan 48 warga Indonesia berusia enam hingga 51 tahun termasuk penjaga premis dan tekong darat.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai sindiket penyeludupan migran.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua tangkapan itu termasuk melibatkan 14 wanita dan tiga kanak-kanak.
“PATI yang ditahan itu dipercayai membayar wang antara RM1,500 hingga RM3,000 untuk diseludup keluar ke Indonesia. Sindiket itu menggunakan taktik membawa migran ke lokasi pelepasan dan bertolak ke negara jiran berkenaan menerusi jalan laut,” katanya, hari ini.
Tambah Soffian, siasatan awal mendapati kegiatan sindiket itu aktif sejak Disember tahun lalu.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – UTUSAN










