Hujan redakan cuaca panas di Perak - Utusan Malaysia

Hujan redakan cuaca panas di Perak

A. SIVANESAN melawat pameran teknologi perubatan dan kesihatan pada Simposium Rawatan Kritikal Kecemasan Kebangsaan (NECCS) di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hujan yang melanda beberapa kawasan di Perak pada sebelah petang dapat mengimbangi cuaca panas waktu tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan melihat perkembangan itu sebagai positif dan menganggap cuaca panas yang sedang berlaku adalah terkawal.

Katanya, rakyat negara ini rata-rata sudah faham tentang perubahan cuaca dan tahu apa langkah-langkah yang perlu diambil ketika berdepan cuaca panas.

“Negara ini hanya mempunyai satu musim. Panas atau hujan. Masyarakat kita sudah difahamkan apa yang perlu dilakukan jika berlaku cuaca panas luar biasa melebihi 33 darjah celsius.

“Malah pada keadaan sekarang, Kita boleh menyemak situasi cuaca menerusi telefon pintar, untuk bersiap sedia mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya pada Simposium Rawatan Kritikal Kecemasan Kebangsaan (NECCS) di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia sejak beberapa hari lalu meletakkan kawasan Kuala Kangsar berada pada Tahap Satu atau berjaga-jaga, iaitu suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Pada masa sama, jabatan itu turut meletakkan daerah tersebut dalam kelompok yang diberi amaran berhubung ramalan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.

Sivanesan juga berkata, setakat ini pihak negeri tidak menerima kes individu dimasukkan ke hospital kerana mengalami strok haba.

Berkenaan program yang dihadirinya, beliau berkata, penganjuran itu menggambarkan komitmen dan kesungguhan tinggi warga perubatan dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kalangan doktor serta profesional kesihatan berkaitan perawatan pesakit kritikal.

Program yang berlangsung selama dua hari itu turut disertai oleh pakar perubatan serta syarikat penyedia teknologi kesihatan dari dalam dan luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×