Hentikan polemik Islam terancam - Yadim

Hentikan polemik Islam terancam – Yadim

YADIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polemik sengaja dicetuskan bahawa Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan boleh mencetuskan kekeruhan dan situasi negatif dalam masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Zamri Zainal Abidin menegaskan, hal ini kerana keputusan tersebut bebas pengaruh politik, selaras dengan doktrin pengasingan kuasa antara badan eksekutif, Parlimen dan kehakiman.

Justeru katanya, semua pihak diminta menghentikan segera polemik di media sosial yang sengaja memberikan gambaran negatif bahawa Islam terancam di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Yadim terlebih dahulu menyeru semua pihak dan segenap lapisan masyarakat khasnya dalam kalangan umat Islam agar bertenang dan berusaha memahami susur galur kes ini secara ilmiah.

“Ini kerana tanggapan-tanggapan negatif khasnya yang banyak dilontarkan secara bebas di media sosial tidak membawa apa-apa kebaikan selain menimbulkan kekeruhan massa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.

Panel itu membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukan tersebut.

Dalam pada itu, Zamri berkata, Yadim menyokong penuh usaha Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar, untuk menjalankan kajian segera ke atas alasan penghakiman kes ini yang disusuli dengan perancangan lanjut.

Katanya, ia bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

“Yadim percaya dan yakin penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia kekal utuh, adalah berasas kuat kerana kedudukannya dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan,” katanya.

Katanya, Yadim juga menyatakan kesediaan memberikan bantuan dan kerjasama penuh kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai saluran sebaran maklumat benar dan tepat kepada rakyat dalam isu ini.

“Ia agar supaya agama Islam terus diperkasakan di negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN