'Harap adik pulang ke pangkuan keluarga'

‘Harap adik pulang ke pangkuan keluarga’

RAZMAN Abd. Malik menunjukkan gambar Rosidi bersama rakan-rakan persekolahannya ketika usia 12 tahun di Kampung Chenderak, Jelebu, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang lelaki di Kampung Chenderak, di sini masih berharap dapat bertemu kembali adik lelakinya yang ‘membawa diri’ meninggalkan keluarga kira-kira 30 tahun lalu.

Razman Abd. Malik, 55, yang merupakan anak ketiga dari tujuh beradik berkata, adiknya itu, Rosidi yang kini berusia 54 tahun membawa diri selepas ibu bapa mereka berpisah.

Bagaimanapun, menurutnya, pada 2002, Rosidi ada menghubungi keluarga pada hari ibu mereka, Zainon @ Rubiah Ali meninggal dunia akibat barah.

“Namun pada hari berkenaan kami agak sibuk menguruskan jenazah ibu dan tidak sempat bertanya lanjut keberadaannya.

“Kami juga tidak menyedari sekiranya adik ada pulang atau hanya melihat dari jauh kami menguruskan jenazah ibu.

“Kira-kira tiga tahun lalu, kami dapat maklumat dia tinggal di sebuah rumah pangsa di Ampang, Selangor. Kakak sulung saya, Rosmah yang kini berusia 59 tahun cuba mencari adik di sana, namun hampa kerana kediaman sewa yang dimaksudkan sudah kosong,” katanya ketika di Kampung Chenderak, semalam.

Menurut Razman, ahli keluarga sangat berharap agar adik mereka dapat menghubungi semula dan pulang ke kampung halaman bagi mengeratkan kembali hubungan yang kini hanya tinggal enam beradik.

Katanya, kepulangan itu juga penting bagi menyelesaikan pelbagai urusan keluarga termasuk tanah pusaka arwah ibu mereka yang kini tidak dapat diusahakan.

“Masing-masing membawa haluan sendiri selepas ibu bapa berpisah. Semasa adik tinggalkan kampung halaman, saya bekerja di kilang getah Felda Serting.

“Buat masa ini kami sukar mencari gambar adik kerana banyak gambar rosak serta terpaksa dibuang kerana banjir besar yang melanda kampung pada hujung tahun 2021 yang lalu,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, adiknya itu mempunyai kesan ketara untuk dikenali iaitu ketiadaan tiga jari kanan iaitu telunjuk, hantu dan manis akibat kemalangan di kilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×