Halim Yazid bertemu jodoh dengan peminat usia 21 tahun - Utusan Malaysia

Halim Yazid bertemu jodoh dengan peminat usia 21 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkenalan sebagai peminat dan penyanyi akhirnya menemukan cinta antara legenda dikir barat Kelantan, Halim Yazid, 64 dan isteri mudanya, Farhana, 21.

Lebih menariknya, biarpun di usia muda, Farhana mengetahui dan meminati lagu-lagu ciptaan Halim sehingga mula jatuh cinta apabila sering berhubung menerusi sosial media.

“Perkenalan kami unik sebenarnya. Dia (Farhana) pernah mengasuh anak kepada sepupu saya. Bila mula berkenalan, dia menunjukkan minat terhadap lagu-lagu saya sehingga kami bernikah.

“Dia juga lahir di Kelantan dan menghafal lagu-lagu saya. Saya sendiri pun terkejut, muda-muda kenal Halim Yazid. Tetapi inilah namanya jodoh kan, Tuhan juga permudahkan,” kongsinya.

Halim yang memiliki seorang isteri dengan lapan anak melangsungkan perkahwinan dengan Farhana pada 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata berusia enam bulan.

Ditanya bagaimana reaksi dan penerimaan isteri pertamanya, Halim dengan tenang menjawab;

“Senang cerita, mereka tidak bergaduh. Tetapi tidak juga berbaik. Mereka juga tinggal di kawasan berdekatan sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, legenda seni Kelantan itu bakal sepentas dengan Hafiz Hamidun menerusi Konsert Zikir Dikir yang bakal berlangsung pada 3 Mei depan di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Halim bakal mempersembahkan lagu-lagu nyanyian dan ciptaannya untuk konsert yang dijangka berdurasi dua jam lebih itu.

Selain Halim, Konsert Zikir Dikir yang dianjurkan Hafiz Hamidun bakal menampilkan barisan artis-artis lain yang belum diumumkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×