SHAH ALAM: Ganjaran sebanyak RM20,000 ditawarkan kepada mana-mana individu yang membantu menangkap suspek kes bunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin.
Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, ganjaran tersebut bagi membantu kes tersebut yang telah berlarutan lebih dua bulan lalu.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada polis yang telah melakukan sebaik mungkin sebelum ini menyiasat kes berkenaan.
“MCPF Selangor bersedia menawarkan ganjaran RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada polis Selangor untuk menangkap suspek-suspek dan boleh berjaya dituduh dengan jaya.
“Maka MCPF beri ganjaran RM20,000 melalui PDRM Selangor. Kita berharap ia sedikit sebanyak akan membantu polis (dari segi maklumat kukuh) dalam menyelesaikan kes tersebut ,” katanya ketika mengumumkannya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.
Zayn Rayyan, 6, disahkan dibunuh selepas penemuan mayatnya di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini pada 6 Disember lalu.
Ini susulan hasil bedah siasat terhadap kanak-kanak tersebut yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis telah melakukan pemeriksaan 1,913 unit rumah dengan memeriksa 5,786 individu selain 216 kenderaan.
“Selain itu, kita telah menangkap 17 individu dengan merakam 243 keterangan dan melakukan pengimbasan terhadap 15 rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Polis juga telah mengambil 168 barang kes dan 262 sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA)serta 42 buah rumah telah dilakukan pemeriksaan forensik dengan penggunaan lapan ekor anjing pengesan (K9) sebanyak enam kali,” katanya.
Jelas beliau, bagaimanapun pihaknya belum menemukan petunjuk kukuh yang menjurus ke arah tangkapan suspek yang terlibat dalam kes itu. – UTUSAN











