LANGKAWI: Fenomena air laut surut penuh sehingga berlaku ‘laut terbelah’ hasil pembentukan beting pasir di Pantai Tanjung Rhu, di sini terus menarik perhatian pengunjung.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kira-kira 3,000 pengunjung antaranya pelancong dan penduduk tempatan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena unik yang berlaku setahun sekali itu.
Mereka boleh berjalan kaki di atas beting pasir sepanjang kira-kira 600 meter berbanding perlu menaiki bot untuk ke Pulau Chabang, Pulau Penyu dan Pulau Kelam Baya jika laut dipenuhi air.
Seorang pelancong dari Johor, Reduan Ismail, 34, berkata, dia memang sudah merancang untuk bercuti di Langkawi pada waktu fenomena itu berlangsung selepas mengetahuinya dari rakan yang tinggal di pulau itu.
“Saya melihat hantaran di Facebook rakan yang menyatakan fenomena itu akan berlaku pada pukul 6.45 pagi, semalam. Jadi, kebetulan memang nak bercuti di Langkawi saya selitkan sekali tentatif untuk merasai peluang berjalan dalam laut.
“Saya lihat ramai orang tidak melepaskan peluang melihat fenomena itu secara lebih dekat termasuk pelancong asing walaupun perlu hadir seawal pagi,” katanya ketika ditemui.
Fenomena selama satu jam 15 minit itu muncul selepas air laut di kawasan tersebut dilaporkan surut sehingga 0.1 meter.
Sementara itu, penduduk tempatan, Fatin Nadirah Ishak, 30, berkata, dia keluar bersama ibu bapanya seawal pukul 6.40 pagi untuk berjalan di atas beting pasir tersebut.
“Saya juga dapat melihat hidupan laut seperti sotong kurita dan beberapa jenis siput yang terdampar apabila air di kawasan itu surut,” ujarnya.
End
SEBAHAGIAN daripada 3,000 pengunjung berpeluang untuk berjalan kaki di atas beting pasir sepanjang 600 meter susulan fenomena air surut penuh di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. – UTUSAN









