Eyes Of Kuala Perlis mercu tanda baharu, semarakkan TMPs - Utusan Malaysia

Eyes Of Kuala Perlis mercu tanda baharu, semarakkan TMPs

ABU Bakar Hamzah (kanan) bersama Mohd. Shukri Ramli pada Perlis Mega Food Festival iaitu salah satu program di bawah Eyes Of Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah memperkenalkan Eyes of Kuala Perlis di Dataran Lok 9 di sini bakal menjadi mercu tanda baharu di Kuala Perlis sekali gus berupaya menarik lebih ramai pengunjung bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Lokasi berkenaan menjadi tapak kepada pelbagai program yang bakal dianjurkan sepanjang TMPs ini.

Abu Bakar berkata, penyediaan tapak berkenaan dapat menjadi medium bagi mempromosikan aspek kebudayaan, perhotelan, kedai makanan dan pelbagai lagi buat masyarakat khususnya pengunjung luar.

“Pelbagai program telah dirancang di tapak ini sepanjang dua tahun penganjuran TMPs antaranya seperti Karnival Bola Perlis, Festival Makanan, Bazar Aidilfitri dan pelbagai lagi,” katanya.

Bagi penganjuran TMPs, kerajaan negeri mensasarkan kehadiran seramai 3.5 juta pelancong ke Perlis yang menawarkan pelbagai destinasi percutian menarik khususnya berkonsepkan keindahan alam semula jadi.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, Eyes Of Kuala Perlis merupakan insiatif pihaknya sendiri dengan kerjasama daripada Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kangar.

Katanya, tapak tersebut yang berkeluasan 16.28 ekar mampu menampung lebih 50,000 pengunjung dalam satu-satu masa.

“Saya mengambil inisiatif menyewa sendiri tapak ini dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) sebanyak RM12,000 setahun melibatkan perjanjian selama lima tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM300,000 bagi meratakan kawasan berkenaan yang dahulunya dipenuhi hutan bakau.

Katanya, program besar yang bakal dianjurkan dalam masa terdekat di tapak itu adalah sekitar bulan Mei depan bersempena dengan Hari Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Dalam program itu terdapat pelbagai acara menarik antaranya seperti Malam Citrawarna, International Tomoi, Tinju, Sukan Rakyat, Festival Wau dan pelbagai lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN