KUALA LUMPUR: Bakal mencecah umur 57 Julai ini, ratu rock negara, Ella tidak kisah memdedahkan dirinya kini sedang dalam fasa pre-menopause bagi berkongsi kesedaran wanita seusianya menjaga kesihatan hormon.
Katanya, proses ke arah penuaan perlu dinikmati dengan mengamalkan penjagaan kesihatan terutama mengambil tahu berkaitan hormon diri.
“Ramai wanita yang tidak mahu berkongsi perihal fasa menghadapi putus haid sebab enggan susahkan anak-anak dan suami sehingga mengganggu emosi.
“Sekarang dah ada solusinya, kita kena tahu memenangkan situasi. Saya rasa gembira dan tak moody.
“Peranan suami juga penting kerana seperti situasi Azhar yang ajak saya jumpa kenalan kami selepas mengadu rasa panas dan mudah marah,” kata Ella.

Ella berkata demikian ketika majlis pengiktirafan penyanyi Pengemis Cinta bersama Skyhill Clinic di sini hari ini.
Tambah Ella, pada awalnya, dia tidak mengetahui kepentingan hormon untuk kestabilan emosi terutama bagi wanita yang menuju ke fasa putus haid.
Ujarnya, sebelum bertemu pakar, dia memang tidak pernah menghadapi sebarang penyakit dan hanya tahu bacaan darahnya berada pada tahap serius.
“Situasi kurang menyenangkan saya alami ketika kita dalam fasa pandemik 2021. Waktu itu berat badan lebih 60 kilogram (kg) berbanding 48kg ke 50kg.
“Apabila bertemu doktor, saya terkejut bacaan darah mencecah 190. Baru saya tahu darah saya tinggi, hormon tidak menentu yang menjejaskan kualiti kehidupan saya.
“Saya seperti nyaris dibawa ambulans kerana bacaan terlalu tinggi. Sedangkan selama ini saya tak tahu pun ada hidap apa apa penyakit,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan Skyhill Clinic, Ella bersyukur kerana diiktiraf di atas penglibatan, konsistensi serta komitmen menyebarluaskan kepentingan horman kepada umum.
Menerusi penghargaan itu, Ella menerima pakej rawatan kesihatan hormon bernilai RM300,000 untuk tempoh setahun.










