El-Nino tidak jejas sektor perikanan di Pulau Pinang

El-Nino tidak jejas sektor perikanan di Pulau Pinang

SEKTOR perikanan khususnya melibatkan akuakultur di Pulau Pinang tidak begitu terjejas meskipun turut berdepan ancaman El-Nino kerana pemantauan serta sesi libat urus sentiasa dilakukan secara berkala oleh Jabatan Perikanan Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Fenomena El-Nino atau cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini termasuk di Pulau Pinang dianggap tidak menjejaskan sektor perikanan khususnya membabitkan akuakultur.

Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kematian spesies ikan air tawar di sini.

“Berbeza dengan ikan di laut (yang tinggal di kawasan perairan terbuka), ikan sangkar atau kolam (spesies air tawar) tidak boleh berhijrah akibat suhu air meningkat (disebabkan cuaca panas) hingga mengakibatkan berlakunya kematian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, dalam hal ini, kami sentiasa turun melawat ke ladang (kolam) akuakultur selain membuat libat urus bersama para penternak (jika ada isu berbangkit mengenai ternakan mereka),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zarina berkata, pihaknya mencadangkan kepada penternak untuk kerap menukar sistem peredaran air atau ‘water circulation’ di kolam atau sangkar masing-masing ketika sepanjang tempoh cuaca panas.

Selain itu, menurut beliau, para penternak turut dinasihatkan supaya membuat kadar tebaran rendah iaitu mengurangkan kepadatan (density) ikan memandangkan risiko ternakan untuk mati dan mendapat penyakit adalah tinggi ketika cuaca panas melampau.

“Kami juga memberi cadangan supaya mereka menangguhkan operasi ternakan (jika berisiko), mengurangkan kadar pemberian makan ikan serta menggalakkan mereka menuai ikan yang mencapai saiz pasaran untuk dipasarkan lebih awal.

“Pada masa sama, mereka juga dicadangkan untuk menutup sebahagian kawasan ternakan iaitu sangkar atau kolam dengan ‘net’ (jaring) hitam selain memindahkan sangkar ke kawasan yang lebih dalam sebagai langkah berjaga-jaga,” ujar beliau.

Tambah Zarina, sebagai antara langkah pencegahan awal pula, penternak dinasihatkan untuk mengambil benih-benih ikan yang bersaiz besar sahaja.

Katanya, ini bagi mengurangkan tempoh ternakan dan risiko kematian, yang secara tidak langsung juga dapat meningkatkan hasil pengeluaran serta keuntungan.

“Penternak atau pengeluar (produk) akuakultur ini turut digalakkan untuk menerima pakai teknologi terkini bagi menghadapi perubahan iklim dan sebagainya,” jelas Zarina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini