SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang meneliti 137 kolam tadahan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk dijadikan sumber air mentah sebagai alternatif bagi mendepani kemarau atau fenomena El Nino.
Kolam tadahan air tersebut adalah tambahan kepada 80 kolam yang sudah pun dikenal pasti sebagai sumber alternatif untuk diwartakan oleh kerajaan negeri.
LUAS dalam maklumannya kepada Utusan Malaysia berkata, tambahan sumber alternatif tersebut dijangka mampu memberikan bekalan air yang mencukupi sehingga sembilan bulan jika cuaca panas atau kemarau berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, berdasarkan sumber air semasa yang melibatkan tujuh empangan dan 20 kolam sumber alternatif membolehkan bekalan dapat memenuhi permintaan penduduk di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga enam bulan.
“Paras air di tujuh empangan utama yang membekalkan air kepada 34 muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) berada pada tahap 83 hingga 100 peratus. Kesemua takungan empangan dalam keadaan baik dan dipantau rapi LUAS secara harian.
“Itu langkah kesiapsiagaan berdasarkan makluman daripada Jabatan Meteorologi berhubung fasa terakhir Monsun Timur Laut yang dijangka menyebabkan cuaca panas berterusan sehingga hujung Mac,” katanya.
Tambahnya, LUAS turut memilih 21 kolam bekas lombong di tiga lembangan sungai utama iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang untuk dibangunkan sebagai kolam takungan air tambahan dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) melalui Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).
Kolam-kolam tersebut juga dilaporkan direka untuk pelbagai fungsi seperti tebatan banjir, rekreasi, pencairan pencemaran dan sebagainya.
Katanya lagi, paras air sungai di seluruh negeri berada dalam keadaan baik dan mencukupi untuk memastikan kelangsungan operasi muka sauk LRA sebelum dibekalkan kepada pengguna domestik dan industri.
“Paras air sungai sentiasa dipantau secara harian melalui Integrated Water Resources Management System (IWRIMS), LUAS bagi memastikan paras air sungai sentiasa melebihi paras air minimum bagi tujuan abstraksi 34 muka sauk LRA,” jelasnya.
Dalam pada itu, LUAS memaklumkan, pihaknya turut memantau bekalan air menerusi 12 strategi bagi memastikan kawalan kualiti tidak terjejas akibat pencemaran termasuk menjalankan rondaan 24 jam melalui Skuad Pantas LUAS.
“Antaranya, mengenal pasti aktiviti-aktiviti dalam 50 meter rizab sungai yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air; menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko; melaksanakan blok pemantauan kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program (RMP) di sepanjang rizab sungai utama.
“Selain itu, LUAS turut melaksanakan pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awal meminimumkan henti tugas LRA; pemantauan berkala ke atas kawasan-kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon perlindungan,” ujarnya.
Jelasnya, penguatkuasaan undang-undang Enakmen LUAS yang dipinda pada 2020 yang menjadikan hukuman penjara kepada pelaku pencemaran dikuatkuasakan bagi melindungi sumber air.
“Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS akan melaksanakan Polisi Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy-ZDP) dan Polluters Pay Principle (PPP) yang dijangka berkuat kuasa pada suku kedua tahun ini.
“Di samping itu, pengenaan deposit dan sekuriti sehingga RM100,000 bagi pematuhan kepada syarat dan sekatan dalam Peraturan ZDP menjadikan pemegang lesen mematuhi syarat dan sekatan supaya deposit dan sekuriti yang dikenakan tidak dilucuthakkan,” jelasnya. – UTUSAN










