DUN Selangor: Semak elaun ahli majlis - Utusan Malaysia

DUN Selangor: Semak elaun ahli majlis

Haiwan peliharaan
NG SUEE LIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk meneliti dan membuat semakan semula kadar elaun yang diterima ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan keperluan dan kedudukan kewangan semasa.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kali terakhir semakan dibuat terhadap elaun tersebut adalah pada 2017, namun akan mempertimbangkan penelitian selepas mengambil kira bebanan tugas ahli majlis.

“Buat masa ini ahli majlis PBT menerima elaun bulanan berjumlah RM2,500 bagi PBT yang bertaraf bandar raya dan manakala perbandaran dan daerah menerima RM2,000.

“Jumlah itu adalah kadar yang sudah dipersetujui dan diselaraskan kerajaan negeri melalui Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Bilangan 1/2021 Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Selangor,” katanya pada Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.

Terdahulu, pertanyaan lisan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Tambahnya, berhubung semakan elaun tersebut, beliau turut merujuk kepada pelaksanaan elaun baharu ahli majlis PBT di Pulau Pinang pada Oktober tahun lalu yang dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM4,000.

“Mengambil kira dan bebanan tugas ahli majlis dalam menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti setempat yang semakin meningkat merupakan salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan untuk memulakan semakan semula kadar bayaran elaun kepada ahli majlis.

“Cabaran dan bebabanan tugas tersebut termasuklah melaksanakan tugasan di lapangan dan sentiasa bersama dalam menguruskan aduan dan hal ehwal penduduk secara sepenuh masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh berhubung kadai cukai pintu kampung tradisi yang dilaksanakan pada tahun ini.

“Jangkaan hasil yang akan diterima PBT melalui kutipan taksiran kediaman kampung pada tahun ini adalah berjumlah RM11.22 juta melibatkan 98,483  bilangan pegangan di seluruh negeri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN