SHAH ALAM: Terdapat sebanyak 694 kilang di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Kapar, Klang, namun hanya 70 atau kira-kira 10 peratus yang didakwa mempunyai Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut, Noor Najhan Mohamad Salleh dalam sesi soal jawab pada Sidang DUN berkata, wujud kelompongan apabila 90 peratus kilang tidak mempunyai KM.
“Soalan saya, bagaimana perkara ini boleh berlaku dan di mana kelompongan sehingga 90 peratus tiada kebenaran merancang. Saya tahu DUN Sementa itu kawasan lapan dan banyak lagi kawasan akan diteroka jika perkara itu tidak diambil tindakan yang serius.
“Dalam masa sama, untuk pemutihan kilang bila tarikh diletakkan supaya isu kilang haram dapat diselesaikan,” katanya pada Penggal Kedua Sidang DUN Selangor, hari ini.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim kemudian mengakui banyak kilang-kilang tanpa izin di dalam kawasan MBDK, namun banyak yang masih dalam peringkat permohonan.
“Memang di MBDK banyak kilang-kilang tanpa izin di bawah kategori KTK (kilang tanpa kebenaran), yang kita luluskan KM sebahagian. Banyak lagi masih dalam permohonan, tiada KM dan mereka sedang dalam proses sekarang.
“Kita akan cuba bantu dengan teknikal syarat minimum iaitu sebelum ini apabila permohonan KM sebelum ini termasuk ulasan daripada 12 jabatan teknikal, tetapi sekarang kita permudahkan kepada pengusaha-pengusaha untuk galakkan kepada mereka dan syarat-syarat untuk ulasan semasa mengemukakan permohonan KM kita kecualikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab pertanyaan daripada ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid yang meminta penjelasan langkah susulan akan diambil terhadap kilang yang mengabaikan Notis 7A Seksyen 178 Kanun Tanah Negara 1965.
Tegasnya, kerajaan negeri akan memberikan notis pematuhan termasuk tindakan merampas tanah jika gagal membuat permohonan KM kepada PBT.
“Kita arahkan supaya Borang 7A di bawah Seksyen 178 Kanun Tanah Negara 1965 dikeluarkan, jika tidak dipeduli, kita akan buat tindakan susulan iaitu Borang 7BA Seksyen 179 kanun sama akan dikeluarkan.
Akhirnya, sampai proses terakhir, Borang 8A juga kita akan keluarkan supaya tanah mereka akan dirampas.
“Saya yakin, sekarang bila kita keluarkan Borang 7A, mereka akan datang (tampil). Sebelum ini, mereka tidak tahan dan kurang faham, tetapi bila ada libat urus, mereka faham kerajaan serius, kita hendak bantu bukan menekan mereka. Tetapi, kalau tidak beri kerjasama kita tidak akan beri peluang,” ujarnya. – UTUSAN










