DUN Perak: 6,583 saman dikeluarkan JPJ sepanjang Januari - Utusan Malaysia

DUN Perak: 6,583 saman dikeluarkan JPJ sepanjang Januari

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin menjawab soalan lisan pada Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 6,583 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak terhadap pengguna jalan raya di negeri ini sepanjang bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, pemandu kenderaan barangan dan lori merekodkan kesalahan tertinggi sebanyak 1,207 saman.

Katanya, tiga kaedah pelaksanaan dibuat Bahagian Penguatkuasaan JPJ Perak bagi tujuan pemantauan iaitu rondaan menggunakan kenderaan JPJ, rondaan kenderaan tanpa logo JPJ dan penyamaran.

“Penguatkuasaan berterusan dilakukan di seluruh jalan di negeri ini bagi memastikan pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pengguna jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya didapati bersalah termasuk melakukan pertuduhan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Menurut Mohammad Nizar, JPJ Perak komited dalam melaksanakan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang degil dan ‘biut’ melanggar peraturan jalan raya hingga membahayakan pengguna jalan raya lain, JPJ akan mengambil tindakan termasuk membatalkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Tiada kompromi terhadap mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan berkaitan penguatkusaan JPJ di Jalan Changkat Lobak ke simpang keluar Plaza Tol Alor Pangsu, Mohammad Nizar berkata, laluan tersebut antara kawasan yang berada dalam pemantauan JPJ Perak.

Bagaimanapun katanya, selain pemantauan oleh pihak berkuasa, orang ramai juga boleh memainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasa.

“Kalau orang kampung melihat ‘gergasi’ (kenderaan berat) lalu-lalang di situ, ambil gambar beserta nombor kenderaan dan hantar segera ke JPJ.

“Agensi penguatkuasaa itu akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN