Daim perlu mohon batal pertuduhan di Mahkamah Jenayah

Daim perlu mohon batal pertuduhan di Mahkamah Jenayah – Peguam

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka selepas didakwa gagal mengisytiharkan aset-aset sepatutnya dibuat di Mahkamah Jenayah.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin, permohonan untuk membatalkan itu tidak wajar dilakukan di mahkamah sivil dan melalui semakan kehakiman.

Selain permohonan untuk membatalkan pertuduhan, Horng Bin turut menyatakan permohonan menggantung prosiding sehingga semakan kehakiman itu diputuskan juga perlu dilakukan di Mahkamah Jenayah.

Beliau berhujah demikian pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam semakan itu memaklumkan bahawa mereka tidak membantah terhadap permohonan Daim dan Na’imah untuk meminda beberapa perenggan dalam semakan kehakiman tersebut.

Pindaan yang dimohon oleh keluarga terbabit adalah berhubung notis Seksyen 36(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang dikeluarkan terhadap Daim dan Na’imah.

Selain Daim dan Na’imah, turut dinamakan sebagai pemohon ialah empat anak mereka iaitu Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd. yang memiliki bangunan terbabit.

Mereka menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada 23 dan 29 Januari lalu, Na’imah dan Daim didakwa atas tuduhan gagal mengisytiharkan aset-aset milik mereka sebagaimana yang dikehendaki mengikut seksyen tersebut.

Menurut semakan kehakiman yang difailkan sebelum ini, kesemua pemohon mendakwa notis berkenaan adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Sehubungan itu, mereka memohon antara lainnya satu perintah certiorari agar notis tersebut dibatalkan.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Tinggi di sini telah mendengar permohonan Daim dan keluarganya untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar tindakan SPRM yang menyiasat dan menyita aset keluarga mereka.

Keputusan bagi permohonan mendapatkan kebenaran itu akan diputuskan pada 4 Mac ini.

Berdasarkan semakan yang difailkan, bekas Menteri Kewangan itu dan keluarganya mendakwa siasatan ke atas mereka dilakukan selepas mereka disebut dalam Kertas Pandora.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.

Dakwa Daim, tiada tindakan dan siasatan dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun mereka dinamakan dalam Kertas Pandora. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN