KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid memohon pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka selepas didakwa gagal mengisytiharkan aset-aset dibatalkan.
Perkara tersebut dinyatakan dalam permohonan mereka untuk meminda semakan kehakiman yang difailkan pada 10 Januari lalu berhubung tindakan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dan menyita aset mereka.
Permohonan untuk meminda semakan tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas, pada 30 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Menurut afidavit sokongan yang difailkan oleh salah seorang peguamnya, Alicia Sabrina Gomez, Daim atau nama penuhnya, Che Abdul Daim Zainuddin dan keluarga memohon untuk membuat pindaan tersebut rentetan daripada pendakwaan yang dikenakan terhadapnya serta Na’imah.
Pindaan yang dimohon oleh keluarga terbabit adalah berhubung notis Seksyen 36(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang dikeluarkan terhadap Daim dan Na’imah.
Selain Daim dan Na’imah, turut dinamakan sebagai pemohon ialah empat anak mereka, Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd. yang memiliki bangunan terbabit.
Mereka menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai defendan pertama dan kedua.
Pada 23 dan 29 Januari lalu, Na’imah dan Daim didakwa atas tuduhan gagal mengisytiharkan aset-aset milik mereka sebagaimana yang dikehendaki mengikut seksyen tersebut.
Menurut semakan kehakiman yang difailkan sebelum ini, kesemua pemohon mendakwa notis berkenaan adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Sehubungan itu, mereka memohon antara lainnya satu perintah certiorari agar notis tersebut dibatalkan.
“Pindaan yang dicadangkan adalah perlu bagi tujuan memberikan butiran lanjut dan lebih baik untuk menjelaskan kes pemohon dengan tepat untuk semakan kehakiman. Selanjutnya, pindaan yang dicadangkan tidak sebenarnya mengubah tindakan ini kepada satu tuntutan baharu dan dibuat secara bona fide (niat baik).
“Notis Permohonan Terpinda dan Pernyataan Terpinda yang dicadangkan, jika dibenarkan, tidak akan memalukan, menyebabkan ketidakadilan atau prejudis kepada responden-responden dalam apa jua cara,” ujar Alicia.
Selain itu, sekiranya Mahkamah memutuskan bahawa notis Seksyen 36(1) yang dikeluarkan terhadap pasangan itu tidak sah dan dibatalkan, maka dua pertuduhan yang bersandarkan kepada ketidakpatuhan notis-notis tersebut juga tidak sah dan terikat untuk dibatalkan.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Tinggi di sini telah mendengar permohonan Daim dan keluarganya untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar tindakan SPRM yang menyiasat dan menyita aset keluarga mereka.
Keputusan bagi permohonan mendapatkan kebenaran itu akan diputuskan pada 4 Mac ini.
Berdasarkan semakan yang difailkan, bekas Menteri Kewangan itu dan keluarganya mendakwa siasatan ke atas mereka dilakukan selepas mereka disebut dalam Kertas Pandora.
Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.
Dakwa Daim, tiada tindakan dan siasatan dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun mereka dinamakan dalam Kertas Pandora. – UTUSAN










