KUALA LUMPUR: “Saya rasa ada salah faham. Pita itu bukan ada pada dia. Dia bukan seorang yang akan menganiaya orang lain.”
Itu jawapan penyanyi popular era 80-an, Datin Suliza Salam ketika ditanya berhubung dakwaan mengaitkan bekas suaminya, Datuk Zainal Nazri Zainuddin sebagai individu yang gagal memulangkan pita asal empat buah filem terbitan primadona, Datuk Sarimah Ahmad.
Suliza ketika ditemui berkata, isu tersebut berlaku sebelum dia hadir dalam kehidupan bekas suaminya namun sebagai isteri, dia mengharapkan kemelut tersebut diselesaikan dengan cara baik dan mengikut undang-undang.
“Saya sebenarnya tak tahu apa-apa. Tetapi dia tidak buat seperti apa yang didakwa. Ada salah faham. Dia dan Datuk Sarimah juga berkawan rapat. Macam abang dan adik.
“Saya juga rasa, perkara ini akan diselesaikan dengan cara baik sebab pita itu tidak ada pada dia pun. Saya nak beri komen lebih pun tak boleh, sebab memang tak ada pada dia.
“Kalau nak petik nama, dakwa itu ini tak apalah. Di Malaysia ini kita ada undang-undang, kalau ada apa yang tidak selesai, saya harap semua itu boleh dilunaskan dengan cara yang terbaik<” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penyanyi lagu popular Untuk Sekali Lagi itu ditemui ketika pertunjukan koleksi raya Glam Lebaran Minaz dengan kerjasama Nona di sini semalam.
Terdahulu, Sarimah kesal dengan tindakan seorang penerbit terkenal yang sehingga ke hari ini gagal memulangkan pita asal empat buah filem yang diterbitkan syarikatnya sebelum ini.
Empat filem terbitan syarikat Sarimah Film Production dan Sasari itu adalah Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak.
Katanya, kesemua filem itu adalah hak milik mutlak beliau dan meminta individu tersebut memulangkan semula sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Dalam pada itu, ketika ditanya keadaan keluarganya selepas nama bekas suaminya dikaitkan dengan dakwaan tersebut, penyanyi berusia 59 tahun itu menjawab;
“Saya dan anak anak baik-baik sahaja. Kalau sudah namanya keluarga, memang semua dikaitkan sekali. Bagi saya, tak apalah. Harap akan diselesaikan sebaik dan secepat mungkin,” katanya.-UTUSAN










