PETALING JAYA: “Sampai sekarang, ada sahaja menipu dengan beri cek tendang, duit palsu malah ada yang bawa lari duit persembahan.”
Demikian luahan penyanyi bersuara emas, Ameng yang mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa penipuan penganjur atau orang tengah tawaran persembahan sepanjang lebih 30 tahun bergelar penyanyi.
Kongsi Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, terbaharu dia menerima sebuah cek tendang berjumlah rm30,000 selepas selesai membuat persembahan berprestij di sebuah lokasi.
“Baru sahaja berlaku, sekitar 2022. Saya menyanyi bagi satu majlis makan makan di sebuah tempat berprestij. Selepas selesai, saya diberikan cek bernilai RM30,000 sebagai bayaran. Saya tak fikir apa-apa lagi.
“Tetapi bila saya pergi bank untuk tunaikan bayaran tersebut, cek itu kena tendang. Isu itu masih belum selesai sampai sekarang. Saya masih ‘melopong’ tunggu individu tersebut selesaikan isu bayaran itu,” ujarnya.
Ameng berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media Konsert Rock Legend Berzaman yang diadakan di Hard Rock Cafe semalam.
Ditanyaadakah dirinya serik dengan kejadian itu, penyanyi berusia 55 tahun tersebut mendedahkan dia masih terbuka sekiranya ditawarkan membuat persembahan di tempat tersebut.
Jelasnya, isu tersebut berlaku di antara dia dan orang tengah tanpa melibatkan penganjur majlis tersebut.
“Kalau nak kata serik itu tidaklah sebab banyak kali juga ditipu. Itulah permainan industri yang mungkin orang tak tahu. Sebelum ini selalunya saya akan pastikan saya dapat duit pendahuluan dulu.
“Jadi, kalau dia tak bayar bakinya masih ada duit pendahululan itu. Tetapi atas dasar percaya, saya tidak ambil wang pendahuluan. Saya tidak salahkan penganjur tetapi orang tengah yang ‘menipu’,” ujarnya.
Tidak hanya itu, penyanyi berusia 55 tahun tersebut turut mendedahkan pernah diperdaya menerima duit palsu oleh pihak penganjur selepas selesai buat persembahan.
“Ada juga saya tak dapat apa-apa bayaran selepas buat persembahan. Cuma itulah masalahnya sebab kami ini (penyanyi), ada yang buat persembahan tanpa hitam putih.
“Kalau nak turun naik mahkamah, memang tidak berbaloi. Banyak masa dihabiskan juga,” ujarnya.
Untuk info, Ameng bakal menjayakan Konsert Rock Legend Berzaman bersama lapan lagi penyanyi rock lagenda tanah air.
Antara penyanyi rock lain yang akan membuat persembahan ialah Azan Scan, Amir Ukays, Zamani Slam dan ramai lagi.-UTUSAN










