CAP mahu EDC dalam produk dikawal selia

CAP mahu EDC dalam produk dikawal selia

MOHIDEEN Abdul Kader (kanan) dan Hatijah Hashim menunjukkan keputusan analisis yang dijalankan ke atas 32 sampel kosmetik dan produk penjagaan diri bagi kanak-kanak yang dikesan mengandungi EDC dalam sidang akhbar di Pejabat CAP, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengawal selia penggunaan Bahan Kimia Pengganggu Endokrin (EDC) dalam produk memandangkan bahan berkenaan boleh mendatangkan implikasi kesihatan terutamanya kepada wanita dan kanak-kanak.

Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim berkata, gesaan itu dibuat susulan ujian terbaharu yang dijalankan terhadap 32 sampel kosmetik dan produk penjagaan diri bagi kanak-kanak mendapati, beberapa sampel tersebut dikesan mengandungi EDC.

Katanya, ujian atau kajian itu dilakukan dengan bantuan Wonjin Institute for Occupational and Environmental Health (WIOEH) dengan sokongan daripada Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF) yang kedua-duanya dari Republik Korea.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 32 sampel produk dari Malaysia yang terdiri daripada produk cucian tangan, pencuci badan, ubat gigi, deodoran, cecair kumur, cecair pencuci untuk wanita dan tisu bayi telah diuji bagi mengenal pasti jumlah paraben atau bahan kimia yang mengganggu endokrin.

“Daripada jumlah itu pula, tiga produk didapati tanpa pelabelan ramuan manakala 15 daripada baki 29 lagi sampel didapati mempunyai label bahan yang salah,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.

Menurut Hatijah, antara lapan negara yang mengambil bahagian dalam pengujian sampel-sampel produk itu, Malaysia mempunyai peratusan tertinggi bagi label bahan yang tidak betul iaitu 53.6 peratus daripada jumlah sampel yang dihantar.

“Daripada 32 sampel yang diuji juga, 18 daripadanya didapati mengandungi metil paraben, lima mengandungi etil paraben, 10 propil paraben serta masing-masing satu isobutil paraben dan fenil paraben.

SEBAHAGIAN daripada produk tisu bayi yang dipercayai mengandungi propil paraben dijual secara berleluasa di Malaysia

“Untuk pengetahuan, isobutil dan fenil paraben telah diharamkan oleh Jawatankuasa Kosmetik ASEAN (ACC) sejak 2015,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, keputusan ujian itu juga mendedahkan bahawa terdapat kekurangan penguatkuasaan walaupun mempunyai undang-undang yang berkaitan dengan kosmetik di negara ini.

“Dalam hal ini, pengguna di Malaysia tidak mengetahui tahap dan jenis bahan kimia yang terdapat dalam setiap barangan kosmetik yang dijual.

“Justeru, selaras dengan keputusan terkini itu yang mendedahkan kehadiran EDC dalam produk kosmetik dan penjagaan diri kanak-kanak serta kesan kesihatan yang berkaitan dengannya, CAP menggesa pihak berkuasa untuk mengawal selia EDC dalam produk,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, CAP juga mahu pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan dengan tegas berhubung undang-undang berkaitan kosmetik dan produk penjagaan diri untuk kanak-kanak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN