PETALING JAYA: British Council Malaysia melakar kerjasama antara pelbagai institusi pendidikan di United Kingdom (UK) dan Asia dalam hala tuju pendidikan masa hadapan menerusi penganjuran Minggu Pendidikan Asia Timur British Council 2024 yang sedang berlangsung sehingga Khamis ini.
Sempena minggu pendidikan itu, British Council menganjurkan forum Think Transnasional Education (TNE) Asia Timur yang menghimpunkan pakar dan wakil terkemuka dari UK dan Asia Timur.
Pengarah British Council Malaysia, Jazreel Goh berkata, forum TNE kali ini bertemakan perkongsian progresif dalam pendidikan transnasional susulan daripada perbincangan di Going Global Conference pada tahun 2022.
Katanya, matlamat utama acara tersebut adalah untuk meneruskan usaha dalam mengeksplorasi peluang bagi peralihan daripada model pengajaran ‘francais’ kepada kerjasama yang lebih maju antara institusi pendidikan.
“Ia bertujuan terus meneroka bagaimana kami boleh menggalakkan peralihan daripada ‘francais pengajaran’ semata-mata kepada kerjasama institusi yang maju dengan cita-cita dan memastikan sokongan yang relevan untuk pelajar, ahli akademik dan pengurusan TNE dalam negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada forum itu, di sini hari ini.
Kemuncak acara tersebut adalah Anugerah Alumni Study UK 2024 yang bakal berlangsung Khamis ini.
Menurut Jazreel, British Council mewujudkan ruang bagi institusi dan penggubal dasar untuk bekerjasama dan membangunkan peluang tentang pengalaman penyampaian dan pelajar TNE yang inovatif dan bertaraf dunia di seluruh Asia Timur.
Katanya, ia dapat menyatukan institusi UK dan Asia Timur serta membantu membangunkan perkongsian mampan yang mampu memberikan impak jangka panjang untuk pengamal dan pelajar.
“British Council menghubungkan institusi UK dengan institusi di Asia Timur yang berminat menubuhkan kerjasama TNE.
“Ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk membina TNE UK yang berskala dan mampan di peringkat global,” katanya. – UTUSAN







