PASIR SALAK: Waris kubur bersejarah Pulau Tiga di sini, Makam Puteri Limau Purut bimbang makam itu mungkin mengundang pihak tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan khurafat iaitu amalan pemujaan nombor ekor dan upacara tarik wang.
Waris makam berkenaan, Tengku Mustaffa Tengku Mohd. Yunus, berkata, ini kerana kawasan makam yang dianggarkan berusia lebih 400 tahun itu dipenuhi semak dan dikatakan terdapat sejenis pokok bunga yang dikenali sebagai ‘bunga pudi’ dipercayai berusia ratusan tahun.
Katanya, selain itu di makan itu juga terdapat pokok limau purut, bersempena nama Puteri Limau Purut yang terkenal dengan kisah sejarahnya dalam kalangan rakyat negeri ini.
Menurutnya, ia dibimbangi berlaku kerosakan pada pokok pudi yang berusia ratusan tahun itu dengan memotong pokok berkenaan untuk dijadikan alat pemujaan nombor ekor atau perbuatan khurafat yang lain.
“Jalan masuk ke makam ini sejauh 500 meter dipenuhi semak samun di kiri kanannya, suasananya kelihatan suram dan ini tidak baik untuk pelancong yang mahu melawat makam ini.
“Jadi kami berharap pihak yang berkenaan dapat memberi perhatian terhadap makam ini terutama menjaga persekitarannya agar tidak dinaiki semak selain mengambil tindakan supaya tiada pihak yang melakukan perbuatan khurafat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini beliau mengesan berlaku kegiatan khurafat di makam itu apabila kerap menemukan beberapa peralatan yang dipercayai untuk melakukan amalan pemujaan seperti limau purut di kubur.
Katanya, setiap kali membersihkan kubur itu, pihaknya sering menemukan beberapa biji limau purut yang dibungkus dengan kain kuning dan colok yang sudah dibakar dan kain dalam tiga warna.
“Saya kecewa dengan perbuatan mereka yang menjadikan makam bersejarah ini sebagai tempat melakukan kerja-kerja khurafat.
“Saya berharap perkara ini dibendung untuk menghalang pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya menceroboh kawasan makam ini,” katanya.
Tengku Mustaffa yang merupakan waris kelapan kepada Puteri Limau Purut berkata, dia antara waris yang diamanahkan untuk menjaga makam tersebut.
Bagaimanapun, disebabkan masalah kesihatan yang dialami, dia tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap penjagaan makam tersebut.
“Saya bersyukur kerana diberi penghormatan untuk memegang amanah untuk menjaga makam ini, saya akan menggalas tugas ini sedaya upaya dengan penuh rasa tanggungjawab dan berharap diberikan kesihatan yang baik untuk terus menjaga makam ini,” katanya. – UTUSAN









