SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan persediaan untuk menghadapi cabaran perubahan iklim perlu dilakukan meskipun negeri ini mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi.
Baginda bertitah, Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang diperkenalkan kerajaan negeri pada dua tahun lalu diyakini dapat memastikan keselamatan dan jaminan bekalan air mentah kepada seluruh pengguna.
Bagaimanapun, baginda tetap menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kesedaran orang ramai supaya berhemah dalam menggunakan air apabila kadar penggunaan domesti dilaporkan sebanyak 215 liter seorang sehari.
“Oleh itu, Beta menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menggunakan air harian secara cermat dan berhemah bagi menyumbang kepada peningkatan simpanan air semasa.
“Di bawah projek SJAM, ia turut melibatkan kerja pembinaan infrastruktur pengepaman di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih yang dijangka akan siap pada akhir tahun ini dan boleh beroperasi pada pertengahan tahun 2025.
“Selain itu, projek Skim Air Sungai Rasau akan menjadi sumber air baru yang mampu menghasilkan air terawat kira-kira 1,400 juta liter sehari (JLH) melibatkan dua komponen iaitu pembangunan sumber air dengan kolam takungan dwi fungsi bagi tebatan banjir serta sumber bekalan air mentah Sungai Klang-Sungai Rasau.
“Selain itu, kerja-kerja pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) termasuk sistem paip agihan, tangki air dan lain-lain yang akan dibangunkan dalam dua peringkat, iaitu kapasiti 700 JLH setiap peringkat,” titahnya pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-15, hari ini.
Sultan Sharafuddin menambah, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang akan membiayai kerja-kerja pembangunan sumber air ini melalui geran dengan anggaran berjumlah RM1.8 bilion.
Dalam pada itu, baginda turut meminta pihak berkaitan untuk memastikan proses penggantian paip usang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat disegerakan.
“Di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, terdapat lebih kurang 30,500 kilometer (km) paip yang membekalkan air kepada pengguna dan ketika ini, banyak berlaku kejadian paip pecah disebabkan oleh paip usang, tekanan berlebihan ke atas paup dan juga vandalisme.
“Untuk menaik taraf rangkaian paip, kerajaan beta telah menyatakan komitmen menggandakan kadar penggantian paip daripada 150km kepada 300km setahun Beta menggesa semua pihak yang berkaitan untuk memberikan kerjasama bagi memastikan proses penggantian paip-paip usang ini dapat disegerakan,” tegasnya. – UTUSAN










