Bercuti, karaoke cara Stacy dan Akim buat lagu - Utusan Malaysia

Bercuti, karaoke cara Stacy dan Akim buat lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tampil dengan single duet baharu, Ritma dan Rima, pasangan selebriti, Stacy serta Akim mengakui proses untuk mencipta sebuah lagu memerlukan masa dan kolaborasi idea bersama.

Jelas Akim, biarpun mereka mempunyai idealogi dan faham muzik berbeza, namun gabungan idea dan cetusan lirik berdua itu menambahkan magis dalam setiap lagu yang dihasilkan.

“Sejujurnya, makin lama kami bekerjasama sebagai komposer, keserasian itu menggandakan keselesaan. Kami terus bekerjasama dengan lebih kerap lagi untuk projek seterusnya .

“Tambahan pula, bonus point sebab kami dapat meluangkan masa bersama. Proses buat lagu juga bukan mudah, memerlukan masa untuk mendapatkan idea.

“Jadi, ada ketika kami akan bercuti dan berkaraoke mencari inspirasi. Apabila dapat idea, kami akan bergabung,” katanya.

Bercakap tentang Ritma dan Rima, lagu sentuhan Hang Nadim dan Bunga Cantik menceritakan interaksi antara Akim dan Stacy dengan alam semesta yang juga berkongsi rentak sama terutama apabila mereka menciptanya dari hati.

Jelas Stacy, idea menghasilkan lagu tersebut tercetus apabila dia mendapat inspirasi melodi korus lagu itu dan kemudian menggarap ilham bersama Akim manakala, Freddy pula berperanan sebagai ‘arranger’ lagu ini.

“Selepas tampil dengan lagu Aku Kau Dan Muzik, kami memang merancang untuk meneruskan momentum magis yang dicipta dan akhirnya bertemu arah tuju bahawa muzik yang menyatukan perbezaan kami.

“Lagu ini bercerita mengenai komunikasi kami dengan alam semesta dan liriknya berhubung kait dengan fauna, flora, awan dan semua hidupan yang bergerak mengikut rentak serta irama.

“Kelebihan lagu ini kerana alunan setiap bait melodi mengikut tempo dan ritma alam sekali gus menyuntik elemen segar yang mendorong kita agar lebih menghargai hidupan di sekeliling,” katanya.

Lebih bermakna apabila karya yang dihasilkan dengan sepenuh jiwa itu juga diterbitkan syarikat mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment (R&R Entertainment).

Bercerita mengenai muzik video yang menjalani penggambaran di Sik, Kedah sekitar penghujung 2023, Akim bersyukur segala perancangan berjalan lancar biarpun melalui fasa sulit.

“Stacy ternampak lokasi penggambaran muzik video ini di Tik Tok, bertepatan dengan konsep dan lirik lagu ini. Perjalanan ke Sik, Kedah mengambil masa enam jam dan hendak mendaki kawasan itu pula sekitar satu jam.

“Seawal pukul 6 pagi lagi kami sudah berada di lokasi kerana ingin merakamkan momen matahari sedang terbit. Anak-anak pun turut serta dan melihat bagaimana kami bekerja.

“Malah, pengalaman hendak sampai ke puncak pun bukan mudah namun hasilnya sangat memuaskan hati. Oleh itu saya berharap lagu dan muzik video ini diterima ramai. Saya juga bersyukur dengan sokongan tanpa henti peminat buat kami berdua,” katanya.

Single Ritma Dan Rima boleh didengar dan dilanggan di platform digital muzik, manakala lirik video rasmi lagu boleh ditonton di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment.

Dalam pada itu, muzik video lagu itu juga sudah mencatatkan 67,000 tontonan sejak dilancarkan 18 Januari lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN