Asmirul Anuar Pengerusi Amanah Kedah baharu - Utusan Malaysia

Asmirul Anuar Pengerusi Amanah Kedah baharu

ASMIRUL ANUAR ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris dilantik sebagai Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Kedah baharu bagi sesi 2023 hingga 2026.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Ismail Salleh yang merupakan bekas ADUN Pengkalan Kundur, manakala Asmirul Anuar merupakan Timbalan Pengerusinya.

Setiausaha Amanah negeri, Rosley Che Ros berkata, jawatan Timbalan Pengerusi kini disandang oleh Johari Abdullah yang sebelum ini Naib Pengerusi Amanah negeri.

Katanya, pelantikan itu adalah selaras dengan peruntukan perlembagaan Parti Amanah Negara (Pindaan 2023).

“Ia juga bagi memenuhi ketetapan Fasal 17.2 (c) Perlembagaan Parti, Jawatankuasa Pimpinan Amanah negeri Kedah sesi 2023-2026 yang bermesyuarat pada 23 Februari lalu telah bersetuju melantik individu-individu itu sebagai Jawatankuasa Pengurusan negeri Kedah.

“Pelantikan yang dibuat ini telah melalui proses syura yang merupakan prinsip utama dalam pentadbiran Amanah serta dengan mengambil kira pandangan akar umbi di peringkat kawasan bagi memastikan amalan demokrasi terus subur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosley berkata, Amanah negeri yakin pelantikan Jawatankuasa Pengurusan Amanah Kedah Sesi 2023-2026 yang membabitkan gandingan penyandang dan tokoh baharu akan membantu memantapkan pentadbiran parti di semua peringkat.

“Selain itu, pelantikan ini bagi mengukuhkan jentera menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang serta meningkatkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan di negeri Kedah,” katanya.

Terdahulu, Dr. Ismail memegang jawatan Pengerusi selama setahun apabila bekas Pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dipecat.

Phahrolrazi yang pernah menjadi ADUN Alor Mengkudu dipecat selepas terbuka membantah keputusan Amanah Nasional menukar kerusi Parlimen Jerai dengan kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU15.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN