BUTTERWORTH : Seorang anggota bomba disyaki lemas ketika sedang menyelenggara bot penyelamat di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin di sini, malam tadi.
Difahamkan, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Mohd Izwan Ilias,42, dikatakan terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 10 malam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Khairy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.20 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa dikatakan melakukan penyelenggaraan bot itu untuk memastikan ia berada dalam keadaan siap-siaga sekiranya diperlukan bagi kegunaan operasi.
“Bagaimanapun, ketika penyelia datang untuk membuat pemeriksaan, mangsa didapati tiada di dalam bot manakala bot terbabit juga didapati telah hanyut.
“Pada masa yang sama, penyelia terbabit juga dikatakan ada terdengar jeritan mangsa ketika itu,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Tambah Khairy, operasi SAR dijangka diteruskan oleh pasukan penyelamat untuk mencari mangsa, hari ini.-UTUSAN











