KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amylea Azizan memaklumkan masih dalam proses mengenali suaminya, Mohammad Aqbar, 41, meskipun mereka berumah tangga November tahun lepas.
Kata Amylea, sebagai pasangan yang bercinta selepas berkahwin, mereka gembira dan selesa walaupun masih dalam proses mengetahui tentang antara satu dengan lain.
“Tempoh perkenalan dengan suami singkat. Kami kenal di media sosial, tak ada niat nak bercinta cuma mula menaruh hati selepas berjumpa pertama kali ketika dia melamar saya. Proses kenal hati budi masing-masing berlaku selepas kami berkahwin.
“Memang kami masih dalam proses kenal antara satu sama lain. Kami cuba ketahui lagi apa yang kami suka dan tak suka buat. Boleh kata masih banyak perkara yang saya belum tahu tentang suami, dan begitu juga sebaliknya.
“Tapi kami selesa dengan cara begini. Saya pun bukan seorang yang suka bercinta sebelum kahwin,” kata Amylea.
Kedua pasangan ini disatukan pada 27 November lepas di Sungai Petani, Kedah. Amylea dan suami mengadakan resepsi perkahwinan mereka pada 27 Januari lepas di Bizmilla One City, Subang Jaya.
Dalam pada itu, Mohammad Aqbar yang mesra disapa Ash memaklumkan akan cuba membahagikan masa untuk berjumpa isterinya di Malaysia memandangkan dia bertugas sebagai pegawai Bomba di Singapura.
“Masa kami fleksibel sebenarnya. Saya ada banyak masa untuk diluangkan bersama dan tak ada masalah untuk ambil cuti sekiranya mahu datang ke Malaysia berjumpa isteri.
“Mungkin dalam dua kali seminggu saya akan berulang alik ke Malaysia untuk bersama Amylea. Begitu juga dengan dia yang selepas ini akan kerap ke Singapura untuk bersama saya,” jelasnya.










