RAMADAN bulan tarbiah dan bulan ibadah. Bulan ini menjadi institusi pendidikan, mendidik Muslimin mengenal hikmah untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) utama iaitu mencapai ketakwaan.
Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).
Allah SWT menjelaskan dalam dalam surah sama ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu adalah di bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
Kemuliaan Ramadan bukan saja menjadi tarbiyah ketaqwaan tetapi ia mendidik jiwa, mengasah personaliti unggul, jasmani sihat, minda positif dan rohani ke arah menjana iman dan takwa serta menatijahkan pengamalan amal makruf, nahi mungkar lalu menjauhkan diri dari perkara yang tidak membawa manfaat.
Ramadan menjadi bulan lebih istimewa dengan keagungan penurunan al-Quran yang sekaligus menjadi sumber utama segenap aspek kehidupan manusia.
Amalan berpuasa turut merangsang pembentukan sel otak. Kajian Dr. Mark Mattson seorang Profesor Neulogi di John Hopkins University menyatakan berpuasa, merangsang pembentukan sel-sel neuro baharu yang akan menambah kemahiran kognitif untuk berfikir secara kreatif, kritis dan holistik.
Sebagai tanda syukur kita harus mempersiapkan diri dari sudut fizikal dan mental.
Persiapan yang mantap akan menatijahkan kesan tarbiah yang maksimum. Fadilat bulan mulia ini jangan dibiar berlalu begitu sahaja tanpa sebarang mujahadah al-Nafs dan alQalb.
Rugi kerana menjalani institusi tarbiah ini dengan mensia-siakan ganjaran pahala dan fadilat terkandung di dalamnya.
Bulan suci dengan puasanya bukan sekadar memenuhi syarat menahan diri dari makan dan minum dan kehendak nafsu syahwat, malah keistimewaannya jauh lebih utama dari semua perkara tersebut.
Salah satu daripada keagungan, keistimewaan dan kemuliaan bulan suci iaitu terdapat satu malam penuh barakah lebih baik dari seribu bulan.
Maksud firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 3: Malam Lailatull Al-Qadar lebih baik dari 1,000 bulan.
Malam mulia yang hanya muncul pada 10 hari terakhir Ramadan yang semestinya dinantikan oleh setiap Muslimin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran pahala reda Allah SWT, maka akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. (Riwayat Bukhari)
Muslimin dianjurkan menggunakan setiap detik saat masa di bulan suci dengan meningkatkan amal ibadah dan menjalankan amal kebajikan untuk meraihkan ganjaran pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan Allah SWT.
Dalam hadis qudsi; Daripada Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya: Allah SWT berfirman: Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri kecuali ibadah puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku (Allah SWT ) maka Akulah yang akan memberi ganjarannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
TARBIAH BULAN RAMADAN
Untuk memastikan tarbiah bulan Ramadan benar-benar difahami dan dihayati, Muslimin wajar untuk mengambil langkah penting sebagai persiapan melalui detik-detik Ramadan dengan penuh rasa kesyukuran.
Antara persiapan utama tersebut seperti memasang niat, tekad dan keazaman untuk memenuhi Ramadan dengan amal ibadah dan amal kebajikan lantaran pintu-pintu syurga Allah SWT terbuka luas untuk Mukminin yang berpuasa.
Ini bertepatan sabda Nabi SAW daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua syaitan. (Riwayat Muslim)
Dalam mengharapkan maghfirah dan rahmat dari Allah SWT, muslimin digalakkan bersungguh-sungguh memperbetulkan diri, lalu memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT.
Mensucikan hati dan jiwa dari segala sifat-sifat mazmumah dan penyakit hati. Ulangkaji semula rukun-rukun, syarat sah dan batalnya ibadah berpuasa.
Dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, mendampingi para ulama dan mendekati suasana sekeliling yang baik, maka sebulan tarbiah ini akan menatijahkan keunggulan muslimin yang mukminin lagi muttaqin.
Ilmu agama, panduan dan bekalan benteng untuk menempuh ujian-ujian yang mendatang.
Muslimin turut dianjur menjauhkan diri daripada segala perbuatan atau lisan yang sia-sia, melalaikan, tidak ada unsur memberi manfaat.
Jauhi lisan yang berkata-kata tidak perlu, mengelakkan pergaduhan dan pertengkaran yang akhirnya membawa kepada permusuhan berpanjangan.
Hikmah di sebalik berpuasa turut merangsang pembentukan spiritual diri yang lebih positif dan holistik dalam melatih kesabaran, bersifat simpati dan empati, memupuk sifat-sifat mahmudah, berdisiplin dalam kehidupan, membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Selain itu, ia memupuk sifat istiqamah solat awal waktu, bangun solat tahajud dan qiamullail, membaca al-Quran, mewujudkan majlis ilmu bersama ahli keluarga dan melakukan segala ibadah sunat yang lain dalam bulan suci ini akan memangkin kecemerlangan ummah.
BULAN TAKWA
Ketakwaan menjana kemuliaan muslimin. Firman Allah SWT yang bermaksud: …Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Penilaian Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dengan kayu ukur ketakwaan. (al-Hujurat:13).
Ketakwaan Muslim dinilai khususnya dalam mereka menjalankan amanah yang diberikan Allah SWT, menjalankan tanggungjawab tugasan hakikinya.
Dalam keikhlasan dan kesedaran menjalankan tanggungjawab akan membuahkan hasil yang bernas penuh barakah.
Kemampuan ilmu, kedudukan status, harta dan tenaga yang dikorbankan tidak bermanfaat jika seseorang hamba tidak bertakwa dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab.
Dengan konsep ketakwaan, jati diri Muslim akan lebih kukuh dan hubungan dengan Allah SWT serta hubungan sesama makhluk Allah SWT akan bertambah indah.
Kita dapat mencapai kemuliaan di sisi Allah SWT lantaran ketakwaan yang tinggi kepada Pencipta.
Menjadi kewajipan untuk kita sambut dan hadirkan diri dalam Ramadan dengan persiapan diri yang utuh dengan ilmu pengetahuan puasa dan fadilatnya.
Ramadan bulan untuk kita perbaiki diri, bermuhasabah diri dengan segala kekurangan diri yang perlu ditambahbaik dan diperbaiki.
- PENULIS adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.










