TELUK INTAN: Sejak sekian lama diangkat sebagai raja buah, malah durian merupakan buah yang cukup terkenal terutama di kawasan Asia Tenggara dan mempunyai penggemar tegar tersendiri.
Isi durian sentiasa menjadi buruan ramai kerana rasanya yang enak, manakala kulitnya pula akan menjadi sisa buangan.
Namun, air kulit durian pelbagai jenis sebenarnya menjadi satu daripada bahan utama untuk menghasilkan kuih tradisi masyarakat Banjar iaitu selimpat.
Menurut Misriyaton Zainal Abidin, 59, prosesnya perlu melalui beberapa fasa seperti kulit durian itu dibersihkan dengan baik sebelum dikeringkan selama beberapa hari di atas siling rumah.
“Ini bagi memastikan kulit itu menjadi kecut. Tidak timbul soal jenis durian kerana apa sahaja boleh digunakan kecuali durian belanda.
“Sebaik sahaja kulit raja buah itu betul-betul kering, proses seterusnya ia akan dibakar dengan menggunakan api sederhana sehingga berubah menjadi abu.
“Selepas itu, abu tersebut akan dicampurkan dengan air bersih untuk direbus dan ditapis sebelum terhasilnya air kulit durian yang diletakkan di dalam botol.
“Airnya putih dan sedikit melekit namun menjadikan kuih selimpat lebih enak dan rangup,” katanya ketika ditemui di Sungai Manik di sini baru-baru ini.
Kuih selimpat berbentuk bulat dan mempunyai dua lubang selain boleh ditambah dengan sira untuk menambah lagi kemanisannya.
Bahan-bahan utama untuk membuatnya adalah tepung pulut, telur dan air kulit durian.
Kuih ini gemar dinikmati oleh masyarakat Banjar terutama semasa majlis kenduri atau Hari Raya Aidilfitri.
Katanya lagi, salah satu kerumitan membuat selimpat mentah sebelum dimasak ialah cuaca tidak boleh terlalu panas dan sejuk.
“Malah, di ruang memprosesnya tidak boleh ada kipas dan alat penghawa dingin. Eloknya diproses semasa hujan kerana takut dohnya tidak cantik selain cuaca sejuk kita pun tidak kepanasan.
“Jika tidak hujan pula, waktu yang sesuai pada waktu malam selepas selesai menunaikan solat sunat terawih di masjid.
“Sekarang ini segelintir orang telah ubahsuai cara membuatnya kerana proses yang rumit namun saya tetap mengekalkan tradisi dan ramuan asal bagi maklumat generasi muda dan kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN










