Ahli perniagaan rugi RM500,000 ditipu pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan rugi RM500,000 ditipu pelaburan tidak wujud

MAZLI MAZLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud, bulan lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 50-an itu terlihat iklan pelaburan Bursa Saham Malaysia di Facebook.

Menurut beliau, mangsa yang berminat dengan pelaburan tersebut telah diberi penerangan menerusi pautan laman web ‘Accerx System’ yang turut memaparkan graf bursa saham.

Katanya, mangsa kemudian membuat 19 transaksi pembayaran sebanyak RM688,300 ke dalam 12 akaun bank berbeza dan dijanjikan keuntungan RM2 juta.

“Sindiket pelaburan tersebut memberi jaminan keuntungan RM2 juta kepada mangsa sebaik pelaburan lebih setengah juta ringgit itu mencapai tarikh matang pada 24 Januari.

“Setelah melepasi tempoh berkenaan, mangsa ingin membuat pengeluaran namun diminta menjelaskan caj pengeluaran iaitu satu peratus daripada jumlah keuntungan RM2 juta.

“Bagaimanapun mangsa tidak membuat bayaran tambahan itu menyebabkan lelaki itu disekat daripada mengakses laman web tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menyedari dia telah ditipu, Mazli berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada 31 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.

Menurut Mazli, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu menerima 136 laporan bermula 28 Januari sehingga 3 Februari berhubung kes penipuan atas talian dan pelaburan tidam wujud.

Katanya, daripada jumlah itu 36 kertas siasatan telah dibuka membabitkan jumlah kerugian hampir RM1.1 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN