Ahli perniagaan dari China lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Jara - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan dari China lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Jara

ANGGOTA pasukan penyelamat mengusung mayat Guo Lei yang lemas di Pantai Tanjung Jara, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Percutian seorang ahli perniagaan dari negara China bersama keluarganya bertukar tragedi apabila dia lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Jara, di sini,berhampiran tempat penginapan mereka, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, Guo Lei, 55, yang berasal dari Shanghai, mandi bersama menantu lelakinya yang berusia 34 tahun, dikatakan lemas setelah dipukul ombak.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan, mangsa tiba-tiba dipukul ombak besar dan hanyut ke tengah laut sebelum lemas.

“Menantu mangsa cuba untuk membantu menyelamatkan bapa mertuanya, namun tidak berjaya.

“Mangsa kemudiannya dipukul ombak dan hanyut ke tepi pantai sebelum menantu mangsa dibantu pekerja hotel bertindak membawa mangsa naik ke darat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Maizura berkata, mangsa kemudiannya diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh kakitangan hotel dengan dibantu anggota Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang tiba di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN