Abdul Hadi, Takiyuddin 'buat-buat tak faham' keputusan Mahkamah Persekutuan -

Abdul Hadi, Takiyuddin ‘buat-buat tak faham’ keputusan Mahkamah Persekutuan – Nik Nazmi

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan didakwa sengaja ‘buat-buat tak faham’ berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes pembatalan 16 kesalahan syariah Kelantan, untuk menimbulkan ketakutan umat Islam demi kepentingan sempit mereka.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Abdul Hadi cuba memberi bayangan bahawa pelbagai pindaan undang-undang sejak kebelakangan ini telah meninggalkan syariat Islam.

Katanya, Ahli Parlimen Marang itu turut memberi sindiran kepada institusi kehakiman apabila melabelkan kewujudan hakim ‘bijaksini’ bukannya bijaksana.

“Sudah tentu Abdul Hadi cuba menunggang isu berkaitan pembatalan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

“Saya tidak terkejut sekiranya beliau tidak memahami isu ini kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan pengamal undang-undang berpengalaman, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga gagal memahami isu ini dengan baik. 

“Perlembagaan yang dikatakan Abdul Hadi sebagai undang-undang penjajah telah memelihara Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin hak-hak penganut agama dan kepercayaan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi dalam penulisan Minda Presidennya membidas kemunculan sesetengah hakim yang didakwanya mempunyai ‘kepala dan akal yang dipengaruhi pemikiran penjajah’ namun tidak menamakan mana-mana pihak.

Penulisan itu hadir selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah atas alasan DUN tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan tersebut kesalahan sama meliputi dalam undang-undang Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dalam petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen berkenaan.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, Abdul Hadi langsung tidak menyentuh fakta bahawa kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam pada awal Disember 2024. 

“Jawatankuasa ini diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai oleh 10 ahli jawatankuasa yang lain. Sudah tentu jawatankuasa ini membantu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Saya yakin Hadi dan Takiyuddin sebenarnya faham, tetapi sengaja buat-buat tidak faham untuk menimbulkan ketakutan umat Islam demi kepentingan sempit mereka,” katanya.

Beliau berkata, Pas harus berhenti mengelirukan rakyat dengan menghina Perlembagaan yang telah menjadi asas kepada pembinaan Malaysia kerana ia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Mempergunakan isu teknikal undang-undang untuk kepentingan politik, terutamanya berkaitan perihal agama adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. 

“Kempen seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan kebencian dalam kalangan masyarakat dan tidak akan membawa Malaysia lebih maju,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN