PETALING JAYA: Pelakon, Abby Abadi, menafikan dakwaan kononnya pernah menyuruh anaknya, Marissa Dania Hakim untuk bercerai dengan jejaka bernama Aslam, sejak khabar angin berita perkahwinan mereka menjadi tular.
Tegas pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu lagi, dia juga tidak pernah mengiyakan khabar angin kononnya anaknya itu sudah berkahwin senyap-senyap di Songkhla, Thailand tahun lalu.
“Mana datang kenyataan ini? Saya tidak pernah mengiyakan tentang pernikahan (Marissa dan Aslam) di Thailand itu. Macam mana boleh kata saya suruh mereka bercerai pula?
“Tanpa rasa bersalah, reka cerita tanpa kesahihan. Kerja tanpa etika atau macam mana?” katanya menerusi sebuah hantaran di Instastory miliknya.
Malah, pelakon Mahabbah De Laila itu juga menegaskan, sejak kontroversi membabitkan anaknya menjadi perhatian, dia tidak pernah berniat mahu menutup mata dengan memihak kepada Marissa semata-mata.
“Muktamad. Sebagai ibu, dari awal timbul isu ini saya tidak pernah bela dan menangkan anak saya.
“Kalau betul berlaku seperti yang digembar-gemburkan, Allah S.W.T sebaik-baik tempat mengadu dan semoga Allah melindungi anak-anak saya,” tulisnya.
Menerusi hantaran yang sama, Abby turut mengingatkan semua agar berpada-pada dalam menulis sebarang isu membabitkan keluarganya.
“Sesiapa sahaja yang mengambil (menulis) isu ini sebagai konten, boleh terus menulis apa sahaja.
“Tapi ingat, semua akan dipertanggungjawabkan okey. Berpada-pada,” katanya.
Sebelum ini, anaknya, Marissa kembali mencuri tumpuan umum apabila dikatakan sudah bernikah dengan jejaka bernama Aslam di Thailand tanpa pengetahuan isteri pertamanya.
Difahamkan, pernikahan berlangsung tahun lalu ketika isteri Aslam yang dikenali sebagai Umisya Mazlan sedang menunaikan umrah di tanah suci Mekah.
Sehingga hari ini Abby dan Norman masing-masing mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi yang sedang berlegar di media sosial membabitkan anak gadisnya itu yang juga seorang penghafaz al-Quran.










