KUALA LUMPUR: Bintang antarabangsa, Aaron Kwok meluahkan rasa kesal dan terkilan selepas tidak dapat menghadiri rangka promosi filem baharunya, Rob N Roll di sini hari ini.
Aaron dalam satu kenyataan berkata, perubahan jadual saat akhir itu terpaksa dilakukan selepas dia mengalami masalah kesihatan dan dinasihatkan untuk menolak penerbangan jarak jauh.
“Saya mohon maaf masalah kesihatan menyerang secara tiba-tiba. Atas nasihat doktor, saya harus mengelak penerbangan jarak jauh ditambah lagi, jadual promosi yang padat.
“Saya terpaksa melupakan hasrat mengubat kerinduan peminat Malaysia untuk bertemu saya,” katanya dalam kenyataan itu.
Pengedar filem tersebut di Malaysia, Mega Films Distribution dalam satu kenyataan turut menyatakan Kwok tetap mengharapkan sokongan agar filem Rob N Roll berjaya di Malaysia.
Namun, Aaron diganti rakannya yang juga aktres terkenal, Maggie Cheung yang terbang terus ke Malaysia bersama pelakon Gordon Lam untuk mempromosikan filem yang bakal ditayangkan pada 10 Februari ini.
Cheung berkata, dia sangat gembira dan teruja untuk mempromosikan filem Rob N Roll.
“Kami bimbang dan mengharapkan agar Aaron Kwok dapat pulih dengan segera,” katanya pernah bekerjasama dengan Gordon Lam di TVB menerusi pelbagai naskhah klasik.
Untuk info, ini adalah kunjungan kedua Cheung ke Malaysia selepas tujuh tahun. Kali pertama ke Malaysia untuk menjalani penggambaran drama bersiri, Eastern Wallstreet pada 2017.
Rob N Roll edaran Mega Film Distributions dengan kerjasama Elepfilm Entertainment, BT Media Space, Meta Live dan Aco Media.
Naskhah berkenaan diterbitkan oleh Er Dongsheng dan diarahkan oleh sutradara, Albert Mak.
Selain Kwok, Cheung dan Lam, filem berkenaan turut menampilkan Simon Yam dan David Chiang, selain penampilan istimewa oleh Lin Xue, Zeng Bitt, Wang Minde, Lu Haipeng dan Wu Dingxin.
Rob N Roll mengisahkan bekas ahli gusti, Mui Lam-tin (Kwok) yang bergelut dengan masalah hidup sehingga membuat keputusan dengan memberanikan diri merentas lautan ke Hong Kong untuk melakukan rompakan besar-besaran.
Bersama rakan-rakannya, Robby (Lam) dan Mo-yung Fai (Richie Ren) yang pekerja sosial rumah jagaan, mereka secara tidak sengaja membentuk pasukan perompak untuk mendapatkan wang.
Rompakan membawa mereka ‘berkenalan’ dengan pegawai polis, Ginger (Cheung) yang nekad mahu menangkap mereka.-UTUSAN










