KUALA LUMPUR: Keupayaan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiapkan sebanyak 757 projek daripada keseluruhan 2,118 projek pembinaan sepanjang tahun lalu menepis dakwaan jabatan itu tidak menjalankan kerja serta tanggungjawab dengan baik.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada tahun lalu, JKR menerima sebanyak 2,218 projek pembinaan dan 9,349 bagi projek penyelenggaraan.
“Daripada projek pembinaan itu juga, sebanyak 772 projek masih dalam pembinaan manakala 589 projek pula adalah dalam prapembinaan.
“Bagi projek penyelenggaraan pula, sejumlah 8,851 kerja telah siap, 473 kerja masih dalam pembinaan dan 25 kerja prapembinaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Dialog Bersama Jurutera Daerah JKR di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan amanat kepada jurutera daerah dan jurutera jajahan bagi menjayakan agenda dan halatuju kementerian yang lebih berdaya saing agar memenuhi penanda aras jabatan sekali gus menyumbang kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat dan negara.
Alexander juga menepis dakwaan-dakwaan buruk yang dilontarkan kepada JKR oleh sesetengah pihak.
“Kita dengar pelbagai aduan dan komen dalam media sosial seolah-olah JKR tidak membuat kerja. Sedikit sahaja kerja bermasalah berbanding yang dilaksanakan dengan jayanya.
“Memburukkan JKR seolah-olah kita tidak bagus. Projek yang siap dengan sempurna adalah lebih besar berbanding projek sakit sedikit sahaja bilangannya,” katanya. – UTUSAN











