KUALA LUMPUR: Kira-kira 30,000 buah teksi kini tersadai di seluruh negara selepas pemandunya memilih untuk berhenti kerana tidak sanggup lagi bersaing dengan perkhidmatan e-hailing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, jumlah teksi yang tersadai itu berpunca daripada kerajaan enggan menyelesaikan isu berbangkit melibatkan industri perkhidmatan tersebut.
Katanya, wujud perbezaan kadar tambang yang ketara antara industri teksi dan e-hailing sehingga menyebabkan mereka rugi dalam persaingan yang diwujudkan antara syarikat-syarikat perkhidmatan dalam talian tersebut.
“Apabila kerajaan tidak mengawal kadar tambang perkhidmatan e-hailing ia akan menyebabkan masalah kepada pemandu teksi. Syarikat-syarikat e-hailing ini bersaing antara mereka, mereka berebut-rebut untuk mendapatkan pelanggan sehingga sanggup membuang harga.
“Apabila situasi tersebut berlaku, kadar tambang akan menjadi jauh lebih murah. Jadi sudah pasti penumpang akan menggunakan e-hailing dan tiada penumpang yang mahu menaiki teksi.
“Malah, situasi tersebut memangsakan sendiri pemandu-pemandu e-hailing kerana ia juga memberi kesan terhadap kadar upah dan pendapatan diraih mereka setiap hari,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Utusan Malaysia didedahkan bahawa sebelum wujudnya perkhidmatan e-hailing dan penggunaannya belum menjadi pilihan penumpang, jumlah pemandu teksi yang beroperasi adalah sekitar 120,000.
Namun, kini jumlah pemandu teksi menurun kepada sekitar 40,000 dan 80,000 lagi sudah enggan memandu teksi dan memilih untuk bergiat di dalam industri lain kerana tidak lagi berjaya mendapat pendapatan yang berpatutan.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, tidak akan ada cara untuk pemandu-pemandu teksi bersaing dengan pemandu e-hailing selagi kerajaan ‘menutup mata’ dan enggan campur tangan.
“Kerajaan mempunyai bidang kuasa sebab Malaysia merupakan negara berperlembagaan, kerajaan boleh sahaja menetapkan kadar lantai untuk e-hailing dan boleh diselaraskan selari dengan perkhidmatan teksi.
“Seperti mana kerajaan menyelaraskan tambang teksi sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, perkara sama boleh dilakukan di dalam industri e-hailing. Insya-Allah jika perkara ini dapat dilaksanakan, saya yakin semua rakyat yang berkhidmat dalam industri pengangkutan akan dapat mencari ‘makan’ dalam keadaan yang adil dan harmoni.
“Jika pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang diluluskan pada April tahun lalu dapat dikuatkuasakan saya rasa ia dapat selesaikan perkara ini, sebab akta tersebut mempunyai punca kuasa yang menghalang pembuangan harga oleh syarikat-syarikat e-hailing,” jelasnya.
Sementara itu, Kamarudin berkata, hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan masalah miskin tegar di dalam negara itu tidak akan dapat dicapai sekiranya isu dihadapi oleh pemandu teksi tidak diatasi oleh kerajaan.
“Apabila kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai satu perkara yang penting dan mengharapkan keajaiban seperti pemandu teksi ‘dihujani emas’ maka ia tidak akan berlaku.
“Pemandu-pemandu teksi kini hidup dalam kemiskinan bandar, jadi bagaimana pihak kerajaan nak merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk mengeluarkan rakyat Malaysia daripada kemiskinan? Dengan jumlah pendapatan diterima ini, memang matlamat itu tidak akan tercapai,” ujarnya. – UTUSAN










