PETALING JAYA: Tindakan tiga penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di sekitar Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban mengundang padah apabila ditahan polis awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, operasi Samseng Jalanan itu bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi..
Katanya, operasi dijalankan Unit Risikan/ Operasi JSPT Bukit Aman dengan kekuatan dua pegawai kanan dan lapan pegawai rendah polis.
“Objektif utama operasi ini adalah membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
“Dalam operasi ini, tiga lelaki berusia 21 tahun hingga 24 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di lokasi berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, tangkapan pertama dijalankan pada pukul 1.30 pagi terhadap seorang lelaki yang melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua belah kaki ke belakang (Superman) bermula dari Kilometer (KM) 289 sehingga KM291 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara.
Katanya, lelaki itu ditahan di stesen minyak Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Bangi Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.
“Tangkapan kedua dijalankan pada pukul 3.44 pagi terhadap dua lelaki yang bersaing sesama sendiri sambil meniarap di atas motosikal dan meluruskan kedua-dua belah kaki ke belakang bermula dari KM294 sehingga KM299 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban arah utara dan tangkapan dijalankan di restoran di Dang Wangi.
“Tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” ujarnya.
Selain itu, menurutnya, sekumpulan penunggang motosikal dalam mencurigakan di pekarangan stesen minyak RnR Bangi Lebuhraya Utara Selatan arah selatan ditahan pada 3.15 pagi.
“Hasil pemeriksaan dapati empat penunggang daripada kumpulan motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu dan mengubah suai motosikal.
“Secara keseluruhan tiga tangkapan dijalankan dan tujuh motosikal disita atas kesalahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 30 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka semua menetap di sekitar kawasan terdekat iaitu dari Sentul, Shah Alam dan Subang Jaya dan hanya menjadikan lebuh raya itu sebagai tempat untuk berkumpul serta menghabiskan masa yang terluang,” katanya. – UTUSAN










