SHAH ALAM: Seramai 28 peninju tempatan dan antarabangsa dijadualkan beraksi dalam JWP-DBKL Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 24 dan 25 Februari ini.
Menurut Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur (KMKMKL), Rosli Yaacob, kejohanan edisi ke 73 yang diadakan sempena sambutan ke 50 Wilayah Persekutuan tersebut turut menampilkan dua regu kanak-kanak dan satu regu wanita.
“Acara berprestij anjuran KMKMKL dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertaruhkan hadiah 10 tali pinggang dan wang tunai.
“Kita juga turut menampilkan jaguh dari Afghanistan dan Yala Thailand untuk menentang jaguh kita pada pertandingan tersebut itu nanti,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, antara perlawanan tumpuan, melibatkan peninju daripada Kelab Muaythai Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mat Ropi Singa Muda yang akan menentang peninju ternama dari Kelab Muay Thai Red Wolves Thailand, Muhammad Kitty Yamat @ Dean Khao San.
Perlawanan ini ditunggu-tunggu disebabkan De Kao San banyak memenangi kejohanan di Kemboja dan Thailand baru-baru ini.
“Sejak dua bulan lalu perlawanan yang dijadualkan melibatkan dua jaguh ini telah menjadi perbualan hangat di media sosial sejak dua bulan lalu. Pastinya ramai yang menunggu perlawanan yang disifatkan serigala menentang singa di Stadium Titiwangsa hujung minggu ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rosli memaklumkan kategori peserta Wanita Super Fight pula akan merebut tali pinggang tajaan syarikat Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin iaitu Syarikat SimplySiti/CTDK.
Menurutnya, acara tersebut melibatkan peserta muda dari Cosmic Johor, Damia Khaulah yang akan menentang peserta dari Kelab Muay Thai Head Hunter Perak, Raja Izzati Raja Annuar yang merupakan peninju nombor satu negara kategori 48 kilogram (kg).
“Pemenang terbaik akan dipilih untuk Grand Final Kuda Merah pada 16 hingga 17 November depan di venue yang sama. Setakat ini 10,000 tiket kejohanan minggu ini yang dijual melalui agen dan kelab habis dijual,” jelasnya. – UTUSAN










