Wanita warga emas tidak mengaku memandu kereta secara berbahaya - Utusan Malaysia

Wanita warga emas tidak mengaku memandu kereta secara berbahaya

TAN Leuk Ley, 76, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini, atas tiga pertuduhan memandu kereta secara merbahaya sehingga menyebabkan kemalangan terhadap tiga buah motosikal, November lalu. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang wanita warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tiga pertuduhan memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan terhadap tiga buah motosikal, November lalu.

Tan Leuk Ley, 76, yang merupakan seorang pesara kerajaan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan pertama, Leuk Ley dituduh telah memandu dengan kelajuan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan terhadap motosikal yang ditunggang Mohammad Afiq Roszani, 23.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Bukit Gambir, kira-kira pukul 2.15 petang, 27 November tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, di lokasi dan masa yang sama, Leuk Ley didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan terhadap motosikal yang ditunggang Mohd. Nor Ezrie Ahamad Nordin, 40, bersama pembonceng, Nur Irfan Hakim Mohd. Nor Ezrie, 15.

Untuk pertuduhan ketiga, juga di lokasi dan masa sama, Leuk Ley didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan terhadap motosikal yang ditunggang Muhammad Syamil Zulkarnain, 22 dan pembonceng Kristina Abdulllah, 22.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM5,000 dan maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ashraf Ali, memohon jaminan berjumlah RM30,000 dikenakan bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, K. Dave memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya merupakan seorang pesara kerajaan dengan bergantung kepada wang pencen berjumlah RM1,800 sebulan.

”Anak guam saya juga mempunyai penyakit ketumbuhan di dalam telinga yang menyebabkan telinganya mengalami masalah pendengaran.

”Dia juga masih mendapatkan rawatan penyakit berkenaan di hospital dan sejak dari hari kejadian dia sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya.

Majistret Siti Nurul Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan dia serta ahli keluarganya tidak dibenarkan mengganggu mangsa-mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan lima individu cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Bukit Gambir, 27 November lalu.

Nahas pukul 3 petang itu berlaku di laluan arah Universiti Sains Malaysia (USM) ke Jalan Tun Dr. Awang, membabitkan tiga motosikal dan empat kereta.

Kemalangan berlaku selepas kereta yang dipandu seorang wanita hilang kawalan dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya