Lelaki warga emas cedera diserang buaya ketika menjala udang

Lelaki warga emas cedera diserang buaya ketika menjala udang

NURSYUHADAH Jamaludin menunjukkan kecederaan dialami oleh bapanya, Jaafa Hasan, selepas kakinya digigit buaya ketika menjala udang di Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas di Port Dickson. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki warga emas yang cedera di kaki selepas diserang buaya ketika menjala udang di Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas di sini sempat menunggang motosikal ke rumah anak saudaranya bagi mendapatkan bantuan.

Anak mangsa, Nursyuhadah Jamaludin, 25, berkata, dia menerima panggilan daripada ibunya, Norazimah Abdul Latiff, 60, kira-kira pukul 5.50 pagi memaklumkan bapanya, Jaafa Hasan, 62, cedera diserang buaya.

Menurutnya, bapanya diserang reptilia itu kira-kira pukul 5.40 pagi ketika sedang menjala udang.

“Saya masa itu baru hendak bersiap pergi kerja. Bila ibu telefon beritahu ayah kena baham buaya, saya terus pergi hospital.

“Abang saudara saya cerita mula-mula buaya itu ambil kaki ayah sebelum menyerang bahagian badan lain. Dalam keadaan sakit, ayah masih sempat naik motosikal pergi rumah abang saya untuk minta tolong,” katanya ditemui di Hospital Port Dickson di sini hari ini.

Turut hadir menziarahi mangsa di hospital ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Katanya, bapanya mengalami kecederaan serius termasuk tulang patah dan pendarahan pada beberapa bahagian badan sehingga terpaksa menjalani pembedahan dijadualkan pukul 9 malam ini.

“Ayah sekarang memang nampak trauma dan menahan sakit. Nak angkat kaki pun susah,” katanya.

Nursyuhadah berkata, bapanya sudah biasa keluar seorang diri pada waktu malam sehingga awal pagi untuk menjala udang di sungai tersebut.

“Kadang-kadang ayah pergi selepas maghrib dan balik sekitar pukul 11 malam sebelum keluar semula pukul 2 pagi hingga subuh.

“Selama ini orang kampung memang biasa nampak buaya di kawasan sungai, tetapi tidak pernah pula serang orang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 8.30 pagi.

Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa dipercayai berada di tepi sungai sebelum diserang reptilia berkenaan yang menerkam kaki kirinya lalu menyeretnya ke dalam sungai.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai keluar menjala ikan seorang diri di kawasan berkenaan pada waktu malam sebelum diserang seekor buaya.

“Mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas berpaut pada batu besar sebelum naik ke tebing dan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan sungai, muara atau lokasi yang dikenal pasti mempunyai habitat reptilia liar terutama pada waktu malam dan awal pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN