Wanita rugi RM194,560 terpedaya pinjaman tidak wujud di Facebook - Utusan Malaysia

Wanita rugi RM194,560 terpedaya pinjaman tidak wujud di Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita kerugian RM194,560 selepas terpedaya dengan tawaran sindiket pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa berusia 32 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu telah menemui iklan pinjaman wang tersebut di aplikasi Facebook.

“Pada 5 Januari lalu, pihak polis teleh menerima laporan daripada mangsa berhubung sindiket pinjaman wang tidak wujud tersebut.

“Mangsa telah berurusan dengan seorang individu melalui WhatsApp yang menawarkan pinjaman wang sebanyak RM250,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Arifai berkata, mangsa telah membuat pembayaran deposit dan wang proses untuk mendapatkan kelulusan pinjaman antara 21 Disember 2023 hingga 2 Januari lalu.

“Pembayaran dibuat ke pelbagai akaun bank yang diberikan oleh sindiket berjumlah RM194,560.

“Bagaimanapun, mangsa gagal mendapatkan wang pinjaman tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, Arifai berkata, orang ramai diingatkan untuk tidak mudah percaya kepada pihak yang menawarkan pinjaman wang secara atas talian dan dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Sebarang nasihat atau maklunat lanjut boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 03-26101599,” katanya.-UTUSAN

.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN