IPOH: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mungkin menjadi ahli politik pertama yang memenuhi tanggungjawab moral apabila bersetuju untuk memilih hanya satu pencen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Wan Azizah semalam apabila beliau boleh untuk memilih pencen sebagai iaitu pekerja kerajaan sebagai doktor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen.
“Memilih satu daripada bayaran pencen ini adalah soal moral dan ini termasuk Azizah, bayaran pencen sebagai doktor, ADUN di Selangor dan Ahli Parlimen.
“Tentunya beliau sebagai seorang yang bertanggungjawab dan maklumkan pada saya pagi tadi, dia hanya akan pilih satu pencen,” katanya pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak di sini semalam.
Mengenai skim pemansuhan pencen bagi penjawat awam baharu yang juga terpakai untuk pelantikan ahli politik, Anwar berkata, mereka perlu menerima kenyataan berhubung perkara tersebut.
“Maknanya kalau yang mahu jadi calon pada pilihan raya akan datang, mereka harus terima kenyataan skim mereka tidak termasuk pencen.
“Kalau sebab tiada pencen, mereka tidak setuju jadi calon, itu pilihan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai sistem persaraan, Anwar berkata, sudah 12 tahun gaji
penjawat awam tiada penilaian dan tidak ada komitmen untuk membaiki kadar upah dan gaji mereka.
Katanya, namun kerajaan hari ini membuat keputusan membuat penilaian gaji penjawat awam walaupun kerajaan sendiri ada kekangan kewangan.
Menurutnya, dengan kos sara hidup tinggi, gaji yang tidak dikaji semula selama 12 tahun, maka kerajaan bertanggungjawab untuk menilainya semula mengikut keupayaan dan supaya tidak membebankan, maka skimnya perlu diubah suai.
“Ini kerana sekarang setahun bayaran pencen mencecah RM30 bilion, dalam 20 tahun menceah RM120 bilion, tidak ada kerajan yang mampu bayar malah kebanyakan negara membangun sudah menghentikan bayaran pencen,” katanya. – UTUSAN










