KUALA TERENGGANU: Kebanyakan tukang jahit di daerah ini mula berhenti mengambil tempahan menjahit pakaian untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, walaupun bakal disambut tiga bulan lagi.
Beberapa tukang jahit yang ditemui Utusan Malaysia di ruang niaga hentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini berkata, mereka mula menghentikan tempahan baharu sejak akhir Disember lalu.
Tukang jahit, Maisarah Long, 66, berkata, beliau perlu menyiapkan lebih 300 tempahan baju kurung dengan bantuan dua pekerjanya menjelang Aidilfitri nanti.
“Jumlah tempahan setiap tahun hampir sama sahaja kerana saya menjahit lebih 20 tahun dan sudah mempunyai ramai pelanggan tetap yang selesa dengan hasil jahitan saya.
“Jadi, setiap tahun pelanggan yang sama akan membuat tempahan walaupun trend sekarang makin ramai orang beli baju yang sudah siap di pasaran.
“Ada juga pelanggan baharu yang datang bertanya sama ada saya masih mengambil tempahan untuk hari raya, namun saya menolak kerana bimbang tidak dapat menyiapkannya kerana mementingkan hasil kualiti kerja,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ketika ini, beliau mengenakan upah jahitan sebanyak RM55 untuk baju kurung biasa dan RM60 untuk kurung moden, kurung Pahang dan kurung Kedah.
Seorang lagi tukang jahit, Rusnani Muhamad, 56, pula berkata, tahun ini beliau banyak mengambil tempahan untuk menyulam baju kerana ia kembali menjadi trend untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan yang menempah ingin tampil berpakaian sedondon dan membuat sulaman agar ia tampak lebih eksklusif.
“Ada yang tempah sedondon untuk dipakai sebagai tema hari raya dan ada juga yang mahu menggayakannya ketika majlis pertunangan dan pernikahan yang diadakan pada cuti Aidilfitri nanti.
“Berbeza dengan baju sulam yang siap dijual, kebanyakan pelanggan mengakui mereka lebih suka menempah dengan saya kerana berpuas hati dengan hasilnya kerana dilakukan dengan kemas dan teliti untuk tahan lama,” katanya. – UTUSAN










