Tiga sekolah terjejas banjir masih ditutup - Utusan Malaysia

Tiga sekolah terjejas banjir masih ditutup

JELANI Sulong (tengah) memberi kata-kata semangat kepada calon-calon SPM di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Tiga buah sekolah di daerah Dungun masih ditutup akibat banjir dan dijangka kembali dibuka untuk sesi persekolahan selewat-lewatnya, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kampung Shukor dan SK Minda Talong.

Beliau berkata, proses pembersihan masih dijalankan di tiga buah sekolah berkenaan dengan usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun.

Menurutnya, pihaknya juga masih mengenal pasti kerosakan di sekolah seluruh negeri sebelum dirujuk kepada kementerian bagi kerja-kerja pembaikian.

“Semua sekolah telah dibuka untuk sesi persekolahan termasuk yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) kecuali tiga buah sekolah di Dungun itu yang masih diberi cuti bencana.

“PPD sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk mencari kelengkapan sementara seperti kerusi dan meja untuk kegunaan murid.

“JPNT menjangkakan proses itu akan selesai dalam masa terdekat untuk kembali beroperasi selewat-lewatnya pada Ahad,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Tiga sekolah terlibat dinaiki air dalam kejadian banjir besar di Hulu Dungun dan bencana tersebut lebih teruk berbanding pada tahun 2014.

Sementara itu, beliau memberitahu, sekolah-sekolah lain termasuk terlibat dengan banjir dan dijadikan PPS sebelum ini telah dibuka mengikut jadual.

“Sekolah-sekolah yang dijadikan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Terengganu juga dibuka seperti biasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya