PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan sebarang penglibatan rakyat Malaysia didakwa menjadi askar upahan di mana-mana negara termasuk berperang bersama tentera Russia di wilayah Donetsk di timur Ukraine.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semakan lanjut telah dilakukan Bahagian Cawangan Khas, Bukit Aman dengan rakan sejawat di negara Eropah namun tiada maklumat diterima setakat ini seperti yang dilaporkan sebuah portal media.
Kata beliau, askar upahan ini tidak boleh dianggap sebagai pengganas memandangkan mereka ini berkemungkinan mewakili sesebuah negara dan bukan organisasi yang berteraskan keganasan.
“Tiada maklumat, rakyat kita diupah jadi tentera di mana-mana negara seperti yang dilaporkan,” katanya di sini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, PDRM sama sekali tidak akan berkompromi dengan rakyat negara ini yang didapati menjadi askar upahan atau pengganas untuk berperang di mana-mana negara bergolak.
Tegas beliau, tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA) terhadap rakyat negara ini yang dikesan terlibat dalam aktiviti keganasan.
“Kita akan sentiasa bertukar maklumat dengan pihak kerajaan dan Jabatan Imigresen Malaysia , jika ada rakyat kita dikesan jadi pengganas atau askar upahan, pasport mereka akan dibatalkan,” jelasnya.
Terdahulu, satu laporan tentera Ukraine mendakwa terdapat rakyat Malaysia antara askar upahan yang berperang bersama tentera Russia di wilayah Donetsk di timur Ukraine.
Tentera Russia dan sekutunya kini menguasai sebahagian besar Donetsk sejak 2014, selepas protes demokrasi besar-besaran di negara itu membawa kepada konflik perang saudara.
Dakwa notis ringkas oleh Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine, Russia terus mengambil tentera upahan dari beberapa negara di seluruh dunia untuk meneruskan dasar keganasan mereka.
“Askar upahan dari Malaysia ditemani penterjemah, termasuk bekas anggota kumpulan Wagner dilihat di wilayah Donetsk yang dikuasai Russia.
“Pejuang itu ketika ini sedang menjalani latihan. Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan memberi amaran sesiapa bersama Russia menentang Ukraine adalah sasaran ketenteraan,” dakwa laporan itu. – UTUSAN










