Tiada kajian persempadanan untuk Semenanjung, Sabah -SPR

Kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya di Sarawak, tidak libatkan Semenanjung, Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa tidak ada perancangan untuk melakukan kajian semula persempadanan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah ekoran tamat  tempoh lapan tahun yang masih berkuat kuasa.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan kajian semula persempadanan untuk Sarawak sahaja setakat ini.

Kata beliau, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat lapan tahun daripada tarikh siapnya kajian terdahulu.

“Atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi negeri-negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada tahun 2018. Manakala bagi Sarawak dan Sabah pula adalah masing-masing pada tahun 2015 dan tahun 2017,” katanya di dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR.

“Serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, SPR bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri-negeri berlandaskan kepada prinsip dan tatacara yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II, Perlembagaan Persekutuan.

“(Iaitu) kewajaran memudahkan diadakan bagi semua pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri dan mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihanraya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran serta pengundian.

“Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan serta perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya