Tarif baharu air di Terengganu naik 16 sen - Utusan Malaysia

Tarif baharu air di Terengganu naik 16 sen

ABDUL Karim Endut (kiri) memperkatakan sesuatu kepada wartawan yang hadir pada sidang akhbar penyelarasan tarif air bagi negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tarif baharu air bagi kategori pengguna domestik dan bukan domestik dinaikkan sebanyak 16 sen bagi setiap satu meter padu berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU), Abdul Karim Endut berkata, kadar kenaikan tarif baharu itu termasuk caj elektrik sebanyak lapan sen yang sebelum ini diserap dalam kos operasi syarikat air tersebut

Menurutnya, tarif air di Terengganu sebelum ini yang disemak sejak tahun 1997 ialah 42 sen bagi satu meter padu akan naik kepada 58 sen termasuk caj elektrik.

“Bagi isi padu rumah yang menggunakan air sehingga 20 meter padu, kadar caj bagi setiap meter padu beralih dari 42 sen satu meter padu kepada 58 sen per meter padu termasuk caj elektrik.

“Bagaimanapun, penggunaan air 20 meter padu hingga 35 meter pula naik 18 sen iaitu akan beralih dari 65 sen satu meter padu kepada 83 sen satu meter padu,” katanya pada sidang akhbar penyelarasan tarif air bagi negeri Terengganu di sini, hari ini.

Selain itu, Abdul Karim memberitahu, program subsidi air percuma 20 meter padu pertama kepada golongan B40 yang layak termasuk masjid dan surau mengikut ketetapan kerajaan negeri.

“Program subsidi air itu melibatkan 13,715 akaun dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta setahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menambah, penyelarasan kadar tarif air dan caj elektrik baharu itu dijangka dapat memberi pendapatan tambahan kepada SATU sebanyak RM9.6 juta setahun.

“Hasil daripada pendapatan itu, SATU merancang melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air seperti menaik taraf loji rawatan air sedia air yang melibatkan kos RM11 juta, penggantian paip kritikal bernilai RM10 juta dan program air tidak terhasil (NRW) sebanyak RM16.6 juta,” ujarnya.

Menurut beliau, pada masa ini, SATU menyediakan perkhidmatan bekalan air terawat kepada lebih 1.2 juta penduduk yang meliputi 342,364 akaun termasuk pengguna domestik dan bukan domestik yang merangkumi perusahan kecil dan sederhana sehingga kepada pengguna industri.

Pada Rabu lalu, akhbar melaporkan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu yang berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya