Trump dakwa ada hak naikkan tarif - Utusan Malaysia

Trump dakwa ada hak naikkan tarif

TRUMP mendakwa mempunyai kuasa untuk memperkenalkan duti import. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan beliau masih mempunyai kuasa untuk melaksanakan duti import walaupun Mahkamah Agung bulan lalu membatalkan tarif global yang diperkenalkannya.

Beliau sebelum ini mengenakan tarif 10 peratus ke atas import AS melalui perintah eksekutif tidak lama selepas keputusan mahkamah itu.

“Saya mempunyai hak mutlak untuk mengenakan tarif dalam bentuk lain dan telah pun mula melakukannya,” kata Trump dalam hantaran panjang di laman sosial miliknya, Truth Social kelmarin.

Trump turut mengecam hakim persekutuan, James Boasberg kerana membatalkan saman yang dikeluarkan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell, berhubung kos berkaitan pengubahsuaian ibu pejabat bank itu.

“Apa yang dilakukan Boasberg dalam kes ‘Too Late’ Powell dan banyak lagi kes lain, sedikit pun tidak berkaitan dengan undang-undang, tetapi semuanya berkaitan politik,” kata Trump.

Beliau berulang kali mengecam Powell berhubung dasar bank pusat mengenai penetapan kadar faedah utama ekonomi.

Trump lantang bersuara mengenai keinginannya agar kadar faedah lebih rendah, mengkritik Powell dan cuba menggulingkan Gabenor Fed, Lisa Cook, berikutan dakwaan penipuan gadai janji.

Januari lalu, Mahkamah Agung AS dilihat skeptikal terhadap cubaan Trump untuk menyingkirkan Cook, dengan majoriti hakim menyatakan keraguan pentadbiran menunjukkan sebab yang mencukupi untuk memecatnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN